Wednesday, December 24, 2014

7 hari sebelum 2015

2014 yang hampir meninggalkan
moga masih diberi kesempatan
untuk menggarap redha Tuhan
untuk meminta keampunan
untuk menjadi sebaik insan

*****

Banyak yang berlaku pada tahun ini. Setiap satu kenangan yang sukar dilupakan. Dan akhir-akhir ini yang menyesakkan jiwa dan perasaan. Terkilan kerana seolah dicampak tepi. Tidak dinilai kebaikan yang pernah diberi. Betul. Insan memang selalu menyakitkan dan melupakan. Tetapi aku dihukum seorang diri sedang salah itu disebabkan oleh orang-orang lain juga. Apakah?



Friday, December 5, 2014

Gagal

Kegagalan dan manusia itu adalah sinonim. Begitu juga kegagalan dan kemenangan. Tak selamanya kita gagal. Tak selamanya kita menang. Hidup ini umpama roda. Adakala kita lah yang paling gah dan paling disanjung. Namun ada ketika kita dicampak tepi dan tidak dinampakkan kewujudan. Ketika itu kita rasa terbuang dan gagal. Namun, sebenarnya dalam kegagalan itu kita boleh mencipta sesuatu yang lebih indah dan berguna untuk kita masa akan datang.


1. Gagal dalam peperiksaan

Bila seorang pelajar gagal dalam peperiksaan, pasti akan mula risau dan sedih. Tertanya-tanya apakah hukuman yang aah dan ibu akan beri kerana tidak lulus periksa akhir tahun. Ke sekolah manakah akan dituju jika gagal mendapat 5A dalam UPSR. Kos apakah yang mungkin akan diberi jika PMR hanya cukup-cukup makan. Apakah nasib masa depan yang baru nak dilangkau jika keputusan SPM yang sangat mengerikan. Kos apakah yang akan dicampak jika keputusan matrikulasi tidak mencapai agregat yang perlu dicapai jika mahukan kos yang diidamkan. Apakah mampu memegang segulung ijazah jika peperiksaan semester gagal. Tetapi, kejayaan yang warna berterbangan itu tak menjamin 100% seseorang itu mendapat pekerjaan yang banyak gajinya, senang hatinya, bahagia jiwanya. Sentiasa bangun untuk capai kemenangan andai sudah terjatuh gagal. Ketenangan hati bukan terletak pada cemerlangnya keputusan peperiksaan.

2. Gagal dalam perhubungan

Ramai yang mengatakan bila penceraian itu berlaku bermaksud siduda dan sijanda telah gagal dalam perhubungan. Dan ianya akan satu calitan gelaran yang sangat menyedihkan. Duda dan janda! Terasa dihina sungguh. Terasa gelap segalanya. Dunia tidak lagi bermakna. Hanya tangisan dan sesalan yang menyelubungi. Walaupun penceraian itu menyakitkan hati-hati manusia, namun Allah takkan mencipta perbuatan "cerai" itu dengan sia-sia. Pasti ada kelebihan tersendiri. Mungkin dengan berpisah itu, hati pasangan itu lebih dekat dengan Allah. Hidup lebih bermakna. Tiada lagi sebalan dalam hati yang melemaskan. Lebih matang dalam perhubungan yang seterusnya. Mendidik hati untuk lebih menghargai apa didepan mata. Malah mungkin ada 1001 lagi hikmah atau lebih dari itu yang kita tak pernah terfikir akan itu. Percayalah, Allah Maha Adil. Dia takkan membiarkan kita dalam kegagalan sentiasa.

3.Gagal dalam dakwah

Kegagalan dakwah bukanlah terletak sedikitnya yang mengikut dakwah kita. Bukan. Tetapi kegagalan dakwah apabila si pendakwah itu tidak beramal dengan apa yang didakwahkan. Itulah kegagalan yang paling besar. Nabi-nabi terdahulu berdakawah bertahun-tahun, tetapi hanya beberapa puluh sahaja yang mengikut dakwah mereka. Adakah gagal namanya? Nabi Muhammad berdakwah berbelas tahun, tetapi yang mengikutnya hanya berbelas sahaja. Adakah gagal dakwah nabi Muhammah? Bukan. Tidak sama sekali. Itulah namanya kemenangan. Nabi-nabi tersebut beramaldengan apa yang mereka dakwahkan. Bukan kata-kata dan omongan kosong. Bukan cakap tak serupa bikin. Maksudnya kat sini, kita kena sedar yang kita berdakwah kepada orang lain adalah sebenarnya, kita berdakwah dengan diri sendiri dulu. Allah juga ada menyebut: Menagapa kau bercakap tentang apa yang kau tak lakukan?

Kesimpulannya, jika kita merasakan kita gagal, bangunlah untuk capai kemenangan, berjalanlah menuju apa yang kita inginkan. Dan berlarilah menggapai redha Allah. Setiap kegagalan yang kita terima, sentiasa bersangka baik dengan Allah. Allah yang mengaturkan mengapa gagal itu yang kita rasa. Jadi, seharusnya ada sesuatu yang manis akankita peroleh dengan kegagalan itu.

Tuesday, December 2, 2014

Marah

Setiap manusia ada, pernah malah sentiasa melakukan kesilapan. Jika manusia melakukan kesilapan kepada manusia yang lain, perlu dan wajib meminta maaf. Manakala jika manusia melakukan kesilapan kepada Allah yang Esa, perlu dan wajib meminta ampun.

Maaf dan ampun dua perkataan yang berbeza, namun ianya memberi maksud yang sama. Meminta maaf tandanya kita menyesali silap kita terhadap seseorang. Menyesali keterlanjuran atau keceluparan mulut kita yang menyakitkan hati seseorang itu. Kadang, kita ini bercakap sesedap mulut, marah juga sesedap hati untuk dilontarkan.

Bila marah itu sudah reda, kita rasa bodoh sangat. Bodoh kerana menengking-nengking, bercakap kesat, meninggikan suara, mengungkit cerita lama. Malah kita juga rasa bodoh kerana mencampak barangan berharga hingga pecah berkecai, membuang di longkang, malah memijak-mijak dan memunahkan barang tersebut.

Kalaulah kita boleh bersabar sedikit dengan menahan marah itu, pasti tiada hati yang terluka remuk, pasti tiada kerugian yang ditanggung. Namun perbuatan-perbuatan bodoh yang dilakukan ketika marah itu adalah satu kepuasan maksimum. Tetapi, ketika hanya marah sahaja. Bila hati mula reda, menyesal itu timbul. Namun ketika itu semuanya sudah terlambat.

Nabi juga pernah bagitahu pada sahabat, orang yang paling kuat adalah orang yang berjaya menahan marah ketika dia berhak untuk marah. Dan itu adalah semulia-mulia kekuatan yang perlu ada. Maksud disitu, orang kuat yang dimaksudkan nabi itu adalah orang yang punya sabar yang tinggi. Selain dia adalah seorang yang mempunyai maaf yang sangat tinggi juga. Dia berjaya menenteramkan dan menenangkan malah juga mendamaikan permusuhan yang baru hendak dinyalakan oleh syaitan.

Dan orang tersebut akan mendapat nikmat ketenangan dan ketenteraman yang amat luar biasa anugerah dari Tuhan. Berapa ramai manusia yang tumpas dengan nafsu amarah dia hingga ianya memakan diri sendiri. Hilang tenang, hilang tenteram, hilang kawan, hilang saudara malah hilang yang dia sayang.

Kena dengan marah bos adalah perkara biasa bagi mereka yang bukan bos. Bos yang bijak adalah bos yang tak menengking-nengking mahupun menjengilkan mata atau menunjalkan kepala staff A dihadapan staff B mahupun staff C. Tetapi bos yang kacak, handsome dan budiman adalah bos yang menegur secara berhikmah dan berlemah lembut tapi masih dalam nada tegas kepada staff A yang melakukan kesilapan yang besar. Jika kesilapan kecil, dia hanya menegur dalam nada bersahaja tanpa ada yang terluka.

Marah seperti itu akan membuat staff lebih menghormati dan menyayangi bos yang kacak, handsome dan budiman itu.

Sama juga seperti ayah. Ayah yang handsome, kacak dan soleh akan mengurangkan penggunaan rotan dari menggunakan mulut. Namun mulut yang dimaksudkan ialah mulut yang menegur secara lemah lembut.

Kita juga lebih selesa jika dimarah dengan lembut dan tegas berbanding dirotan dan dihumban dengan kata-kata yang menyakitkan. Mana ada orang yang suka diherdik dan dicaci. Kekerasan bukanlah caranya. Kelembutan juga yang akan menang.

Mari kita mencuba menahan marah. Menahan marah yang membabi buta. Dan cuba semai sifat memaafkan untuk setiap insan yang melakukan kesilapan kepada kita.

Tetapi, jangan pula hilangkan marah tika melihat maksiat dan dosa. Marah lah dosa yang dibuat. Bukan marah pada pendosa itu.


Wednesday, November 26, 2014

Rindu

Rindu. Adalah satu perasaan yang sangat istimewa anugerah dari Allah kepada makhluknya. Terutama kepada manusia. Banyak jenis rindu, banyak pula kelebihan rindu. Apatah lagi kesan-kesan rindu.

Jenis-jenis rindu

1. Rindu pada Allah.

Ada hamba yang mempunyai iman sehebat Rabiatul Adawiyah. Ini adalah salah satu contoh. Seorang ahli sufi selalu beribadah kepada Allah kerana betapa rindunya kepada Tuhannya itu. Dia tidak punya perasaan yang takut dengan balasan neraka jika berbuat jahat. Apa lagi untuk punya perasaan yang mengharapkan syurga atas amal baik yang dia lakukan. Tapi, ibadah dia hanya lah untuk rasa keteringinan melihat wajah Allah. Dasyat bukan rasa rindu itu?

2. Rindu kepada Rasulullah

Kalau kita benar-benar hayati sirah perjuangan Nabi kita, mesti rasa rindu yang membuak hingga terasa mahu pecah dada. Rindu pada dia yang kita tak pernah jumpa. Betapa mulianya lelaki itu. Sanggup berkorban apa saja untuk umat. Walhal dia sudah dijanjikan syurga. Dia sudah dijanjikan segalanya kesenangan di dunia. Tetapi, dia sanggup bersusahan menyebar agama untuk umat yang tak pernah dia jumpa. Untuk umat yang dia sangat rindu. Mari amalkan sunnah rasulullah. Ketika memakai baju, masuk tandas, naik kenderaan, hendak tidur, hendak makan dan juga perwatakan kita.

3. Rindu kepada keluarga

Terutamanya rindu kepada mak ayah. Kedua-dua insan yang sangat banyak berkorban untuk kita. Adakala, boleh menitiskan air mata apabila terbayang wajah emak dan ayah. Wajah yang semakin dimamah usia, sedang kita semakin dewasa. Wajah suci yang penuh kasih sayang. Segeralah pergi menemui mereka jika rindu (jika masih hidup). Mungkin, ketika itu mereka juga sedang merindui kita. Jikalau mereka sudah tiada, berdoalah untuk kesejahteraan mereka di sana.

4. Rindu kepada sahabat

Banyak kenangan yang terlakar sepanjang kehidupan kita adalah diwarnai oleh sahabat yang mengelilingi. Dari zaman sekolah hinggalah alam pekerjaan. Rindu itu pastu datang bertamu. Namun sukar sekali mengembalikan nya. Apa lagi mengumpulkan semuanya. Walau demikian, kenangan itu takkan pernah hilang. Takkan.

5. Rindu kepada pasangan

Rindu yang paling bermakna adalah rindu kepada pasangan halal. Pasangan yang termeterai dengan ikatan pernikahan. Itulah rindu yang diredhai dan berpahala. Pasangan yang terlarang bukan saja dilarang, malah boleh membawa dosa jika ianya disertai dengan perbuatan mungkar. Rindu itu harus disimpan jika belum punya. Harus dijaga hanya untuk sidia. Agar nanti bila ianya benar terjalin, akanmembuah rasa yang sangat manis.


       

Tuesday, November 18, 2014

Nak jadi baik

Naluri setiap insan itu mahu menjadi baik. Sebab itu fitrah. Firaun juga mungkin ada pernah rasa mahu jadi baik. Abu lahab apa lagi. Kamal Attartuk pun mungkin sama. Tetapi ego mereka mengatasi rasa mahu menjadi baik. Hakikatnya, Allah tinggalkan sejarah orang-orang sebegini untuk kita jadikan pengajaran. Cukuplah dengan orang-orang seperti itu. Jangan ditambah lagi golongan yang sebegitu.

Ada yang berkata, kita akan belajar dari kesilapan dan sejarah lalu. Namun kita juga boleh jadikan kesilapan dan sejarah lalu orang lain untuk kita belajar. Jangan sesekali melakukan silap dan salah itu. Selalu lah berusaha menjadi baik. Menjadi lebih baik. Menjadi yang terbaik.

Bilamana kita sudah menjadi baik, ada lagi halangan untuk kita. Menjadi kekal baik. Kekal dalam kebaikan. Atau bahasa lain nya, istiqamah dalam kebaikan yang kita buat. Nak jadi baik mungkin senang. Tetapi nak kekalkan kebaikan itu bukannya senang. Nak jadi baik mungkin payah. Tetapi nak kekalkan kebaikan itu lagi payah. Namun, tiada yang mustahil bukan?

Allah ajar kita melalui perantara Nabi Muhammad s.a.w akan doa berikut:

"Ya Allah, janganlah Kau memesongkan hati kami, sesudah Engkau memberi hidayah kepada kami.  Dan kurniakan kepada kami limpah rahmat dari sisi Mu, sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberiannya."
(Ali Imran;8)

Saya pernah dinasihati oleh orang-orang yang baik, orang-orang yang istiqamah dalam kebaikan mereka seperti berikut:

1- Dengar yang baik-baik, fikir yang baik-baik, sangka yang baik-baik, InsyaAllah yang baik-baik akan datang
2- Kalau nak jadi baik, khidmat pada manusia. Contohnya, cuci jamban surau. Basuh pinggan housemate yang lepas ditinggalkan atas meja. Sediakan dan masakkan makanan untuk housemate. Banyak lagi.
3- Doa lah agar menjadi orang baik.

Ada manusia celaka yang nabi muhammad pernah sebut iaitu orang yang paginya dia dalam keadaan islam tapi kafr pada petang hari. Adakah kita orangnya?

Berpagian dengan membaca al quran dan memulakan semangat kerja dengan bersemangat. Namun malamnya, bila penat pulang ke rumah lantas tidur dengan isyak yang ditinggalkan.

Ayuhlah. Jangan pandang belakang. Jangan pandang walau disebelah. Apa yang berlaku, usahalah untuk menjadi yang terbaik. Susah bukan? Sebab itu ramai yang beranggapan, bukan senang nak jadi baik. Kita cuba ya. Jangan mengalah

Monday, November 17, 2014

Medang

Sabtu lepas. Seorang kawan aku mengirimkan gambar dia di sebuah kedai makan bersama ayah dia. Di waktu awal pagi. Medang namanya. Dia medang bersama ayah dia. Dia kata, pagi-pagi dia dah bersiap sebab ayah dia mesej dia ajak pergi medang. Lalu dia meminta izin dari suami nya. Ya. Dia sudah bersuami. Rumah dia dan rumah ayah dia tak jauh. Masih satu daerah.

Aku agak pelik juga. Dah besar-besar macam ini pun masih pergi medang bersama ayah? Dan sudah berkahwin pun. Hanya berdua saja pula tu. Emak dia tak ikut pagi itu.

Dia kata, ya. Ayah dia selalu ajak medang bila mana dia balik sungai besar (Sekarang ni, dia berjauhan dengan suami. Dia di Sri Kembangan, suami di Sungai Besar). Dan dia sangat teruja bila ayah dia ajak pergi medang.

Aku dapat merasakan seronoknya pergi medang. Lagi-lagi dengan ayah. Teringat kenangan masa kecil-kecil dulu. Bila abah ajak medang, terlonjat-lonjat kegembiraan. Abah selalu order roti bakar. Sampai sekarang, aku sangat suka pesan roti bakar bile medang. Abah jarang ajak medang. Sebab abah pun jarang kaT rumah. Biasa medang di waktu petang.

Dan lagi satu paling aku ingat, pernah satu hari emak sangat memarahi aku. Biasa bersama cubitan atau sebatan. Aku melawan tika itu. Lagi lah memuncak marah emak. Aku tak ingat tentang apa. Nasib masa itu, abah balik. Dengar je bunyi motor abah, marah emak mula kendur. Dan aku berlari ke luar rumah. Abah yang baru sampai, melihat aku yang sedang menangis terus ajak aku medang.

Medang di kedai makan yang tak berapa nak jauh dari rumah. Tapi itu sudah menjadi satu kegembiraan yang teramat bagi aku. Abah pesankan aku mee goreng kalau tak silap. Sambil makan, abah berkata sesuatu:

“Jangan melawan cakap emak. Kesian kat emak. Tak baik melawan. Nanti dosa”

Sampai sekarang aku ingat. Sangat ingat. Teringinnya nak pergi medang dengan abah lagi. L


Tuesday, November 4, 2014

Lesu

Ada seorang yang aku kenal. Berpewatakan yang sangat ceria. Tersusun percakapannya. Indah bahasanya. Sopan tuturnya. Tidak memaksa dan mendesak. Sentiasa tersenyum. Bicaranya kedengaran ramah.

Cumanya, kadang aku rimas juga. Dia terlalu ramah. Terlalu. Kadang boleh menimbulkan rimas.

Tapi, satu hari. Dia datang kepada aku. Masih lagi tersusun percakapannya. Masih lagi indah bahasanya. Masih lagi sopan tuturnya. Dan masih lagi tersenyum. Cuma kali ini aku tidak pula rimas. Dari raut wajahnya seakan dia sedang memendam sesuatu. Wajahnya lesu, Senyuman dia ada, tapi sedikit hambar. Serba salah pula aku mempercepatkan pertemuan kami. Sebab nya, aku ada sesuatu ingin dilaksanakan.

Dan dia berlalu dengan langkah longlai. Seakan ada satu batu besar yang sedang menghalang dia.

Apapun, aku harap kau mengerti. Tak kan ada sesuatu yang datang kepada kau adalah sia-sia. Tiada. Tuhan kita sentiasa adil. Dan kita kena memandang sesuatu masalah dengan rasa adilnya Tuhan kita. Sayangnya Tuhan pada kita. Kena. Anggap dugaan dan ujian mengkifarahkan dosa, Anggap tangisan itu untuk kita datang dekat pada Tuhan. Ingat, Tuhan tak pernah tinggalkan kita. Tak pernah.

Wednesday, October 29, 2014

kerja

Aku tahu mungkin ada yang tak tahu tentang kerja aku. Ada yang tak nak tahu pun. (pasrah!)

Bidang kerja aku ni tak lah susah. Duduk hadap komputer  dalm bilik yang mempunyai penghawa dingin. Dilengkapi dengan meja yang boleh tahan besar. L shape. Senang letak file atau dokumen. Senang nak ambil. Masuk kerja pukul 9 pagi dan boleh balik ke rumah pukul 6 petang. Ditambah lagi dengan waktu rehat dari pukul 1 hingga 2 petang. Tetapi kalau hari jumaat ia akan menjadi seawal 12.30 hingga 2.30 petang.

Peraturan firma tidak lah begitu ketat. Zuhur memang dalam waktu rehat. Bahkan, para pekerja juga dibenarkan solat asar seawal waktu. Tinggal lagi pekerja itu mahu mengerjakan asar awal atau lewat. Boleh minum-minum sambil bekerja. Boleh ke tandas tanpa mengira waktu. Tidak perlu datang kerja pada hari sabtu. Apa lagi hari ahad. Dengan cuti tahunan yang lebih kurang sama dengan syarikat lain. Cumanya boleh dibawa kehadapan cuti tahunan yang tidak habis digunakan. Tapinya, terhad kepada 5 hari sahaja. Lebih indah lagi, apabila cuti umum jatuh pada hari sabtu, ianya akan ditambah pada cuti tahunan.

Nampak macam bahagia dan seronoknya! Alhamdulillah. Ada yang kerja lebih teruk lagi dari aku.

Aku tak merungut. Apa lagi untuk tidak bersyukur. Cumanya aku mahu memberitahu, aku mengalami tekanan perasaan apabila aku diasak dan dipaksa. Secara jujur, aku sukar menerima paksaan yang diselangi dengan sinisan kata. Aku mahu menangis. Dan rasa menyampah boleh menyelebungi aku terhadap individu tersebut.

Ini lebih kepada klien. Kebelakangan ini, list of job planning aku sangat lah panjang. Tak habis pun seharian bekerja. Dan kebelakangan ini juga, ramai klien aku mendesak untuk aku menyiapkan dan menyediakan dokumen yang diminta mereka. Dengan segera. Nak cepat. Nak sekarang. Sebilangan besar klien aku merasakan yang aku hanya mempunyai seorang sahaja klien. Iaitu dia. Jadi, dia beranggapan dokumen yang mereka minta boleh dapat ketika itu juga. Hampeh!!

Belum lagi kerja-kerja segera yang diminta oleh bos.

Oh! Aku nak kahwin. Tak mahu kerja dah.

Apapun, aku bersyukur. Orang-orang macam itu lah yang membuat aku lagi kuat. Lebih sabar. Dan lebih mempunyai tenang.

Hakikatnya, waktu kerja aku adalah dari 8pagi hingga 10.45 malam. Itu yang paling lama. Kebiasaannya 8 malam atau 9 malam baru memandu pulang ke rumah. Dan tidur.

Sebenarnya, kerja aku ni bahagia je. Tak la sukar mana pun. Cumanya bila ada individu yang kelam kabut je buat aku rasa tidak tenteram.

Ok, bye

Go Block

1- Aku tidak faham. Dan tidak mahu faham. Sila jelaskan.

2- Jangan mendesak aku. Beri sabar sedikit pada diri kau. Tak selamanya kau perlu menangkan diri kau sahaja.

3- Aku tiada. Aku tak punya. Sesak dan lemas sedikit buat masa ini. Sila faham. Dan ringankan kepala aku. Terima kasih.

4- Jangan gopoh. Jangan kibut. Aku rimas. Aku rasa nak hempas. Sebab yang penat nanti adalah kau. Dan yang lagi penatnya adalah aku.

5- Aku minta maaf. Banyak yang aku lupa. Memang salah aku. Tapi, kata-kata kau begitu sinis. Sedikit rasa terhiris.

Wednesday, October 15, 2014

kadang

Kadang permintaannya tidak masuk akal
Kadang juga seolah tak matang
Dan terkadang kedengaran tamak

Ingat
Kita ada Tuhan yang melihat
Jangan terlalu taksub dan haloba
Rezeki Tuhan dikongsi bersama
Yakin dengan rezeki kurniaan Nya

Tuesday, October 14, 2014

Kau ajar

Sekali seolah dipertikai kesungguhan aku, semacam angin ribut menerbangkan segala semangat.
Aku manusia. Dan terutama aku wanita. Sedih sedikit seolah kau tidak peduli, sedang aku menggunung duli. Bukan sedikit. Banyak juga.

Tiada ikhlas dalm bicara aku. Aku tahu kau sedar. Aku tahu kau merasakan.

Kau ajar aku menjadi kuat. Kau ajar aku jangan batak dengan pujian. Kau ajar aku menjadi lebih selamba. Tidak mudah ambil hati, Tidak mudah peduli.

Terima kasih.

Friday, October 10, 2014

Gerhana yang direncana

Gerhana bulan. Baca satu entry di blog kak dee. Aku membayangkan dikala bulan itu terbelah dua, hanya sebahagian yang tampak bercahaya. Manakala sebahagian lagi tiada apa-apa. Memang terbelah. Terpegunnya.

Hanya Allah yang berkuasa menjadikan semua itu. Dari sekecil-kecil kejadian, hinggalah sebesar-besar kejadian. Bahkan yang menggerakkan tiap satunya di dunia ini adalah Allah. Makhluk tiada kuasa. Allah yang berkuasa.

Tiada kebetulan dalam dunia ini. Semua Allah yang merancang dan menjadikannya ia berlaku. Tiada nasib baik atau buruk melainkan Allah yang mengizinkan.

Jadinya, jangan mengeluh. Berhenti merungut. Bilamana kita mula bersyukur, kita akan berhenti merungut. Teruskan berdoa. Biasanya yang datang kemudian itu yang terbaik.



Tuesday, October 7, 2014

Cerita Raya Haji

Salam Aidiladha. Moga Allah menerima amalan dan pengorbanan, saya, anda dan mereka.

Minggu sebelum raya haji, mak disahkan kena denggi. Emak seorang yang jarang sakit. Demam sekali sekala. Mungkin sebab title emak itu sendiri yang penuh kasih, Allah tak izinkan sakit. Sebab emak yang kena jaga anak-anak dan mengasuh anak-anak.

Denggi kali ini, emak sangat lemah. Terbaring lesu. Dan setiap hari kena ambil darah untuk diuji kandungan platlet dan kepekatan darahnya. Aku sendiri berkejar dari tanjong karang ke shah alam. Beberapa hari ambil halfday untuk hantar emak ke hospital. Memandangkan, abang sulung yang tinggal dengan emak juga demam bersama anaknya.

Sayu hati juga melihat emak terbaring tidak bermaya. Makan pun tak berselera. Sampai lah ke hari raya, emak masih lemah tidak berdaya. Kami adik beradik, berkumpul solat hajat untuk emak. Menu kebiasaan semasa hari raya diambil alih oleh kami yang perempuan. Adik beradik perempuanku 7 orang termasuk aku sendiri. Ditambah lagi 2 orang kak ipar.

Yang memasaknya adalah aku. Ehm. Ehm. Cuak sedikit untuk memasak untuk semua. Kalau setakat masak untuk adik-adik aku, boleh tahan lagi. Ni untuk abang-abang, kakak-kakak dan ipar-ipar. Aku sedar dan tahu, yang beri sedap adalah Allah. Namun, aku gentar jika Allah tak bagi sedap pada masakan aku. Ada 2 menu kegemaran kami, sambal taun taucu dan sambal kacang ayam. Sambal kacang ayam, aku pernah masak sebelum ni. Sambal kacang sahaja, selalu sangat dah. Sebab emak buat bisness sate kecil-kecilan, dari kecil sudah diajar cara memasak sambal kacang Cumanya kalau tambah ayam, bumbu harus lebih.

Masa masak sambal kacang ayam, emak kata serai 10 batang. Tapi, kak ipar aku hiris 2 ikat serai yang berjumlah hampir 20 batang. Aku masukkan semua. Walaupun aku rasa macam serai tu terasa sangat, tapi yang lain semua kata hampir menyamai emak punya. Weehhuu. Alhamdulillah.

Yang kedua, masak sambal taun taucu. Tak pernah lagi dalam adik beradik aku masak sambal taun taucu.  Termasuk lah aku. Tak konfiden. Dah tanya kat emak, cara-cara masak sambal taun. Tapi, bila masuk dapur aku confused mana satu kena masukkan dulu. Nak tanya banyak kali, emak pun macam tak larat nak cakap. Aku masukkan semua bawang, lengkuas dan cili. Aku ingat-ingat lupa apa yang emak cakap. Tapi, sepatutnya cili masukkan kemudian. Oleh sebab masukkan awal-awal, cili dah pecah lalu sambal taun yang aku buat pedas gila. Ok, just nice la rasanya. Mereka kata 90% menyamai emak. Fuhhh.

Penat juga memasak ni. Memasak dalam kuantiti yang banyak. Sambal kacang seperiuk besar. 2 ekor ayam. Sambal taun pula sebelanga besar. 5kg kerang, 2 ekor ayam pencen dan 3kg ceker. Alhamdulillah. Adik beradik yang lain berkerjasama sediakan bahan-bahan memasak. Aku hanya memasak.

Wednesday, October 1, 2014

pilihan

Satu saat. Aku diuji dengan pilihan yang sangat menyakitkan. Untuk aku mengambil keduanya, aku tidak mampu dan tiada daya. Untuk ambil satu, aku mahu juga yang kedua. Dan aku terpaksa menyakiti hatiku sendiri untuk memilih salah satunya. Dan terpaksa melupakan yang lagi satunya.

Aku tahu aku akan menyesal. Tapi tidak mengapa. Aku biarkan yang satunya pergi saja.
Pergi.


Thursday, September 25, 2014

Cuti berjaya

Aku dapat cuti. Alhamdulillah. So, semalam kena kerja lebih sedikit. Dalam pukul 10 juga balik. Tapi banyak iklan dari kerja. Huhu

Malam tadi tak boleh tidur. Packing barang nak pergi Penang. Entah kenapa rasa sedih semacam. Lagi-lagi tengok roomate yang tinggal beberapa hari lagi bersama.

Aku harap aku kuat. Perpisahan memang menyakitkan. Tapi pertemuan sebelumnya melakar banyak kemanisan.

;(

Wednesday, September 24, 2014

Penang

Sebenarnya, nak minta cuti hari Jumaat ni. Nak pergi Penang untuk urusan peribadi. Nak berjalan sebenarnya. Tapi takut nak minta kat bos. Bukan takut kat bos. Rasa segan nak minta cuti kat dia sebab macam last minute je nak minta cuti. Dan hari Jumaat ni kalau aku cuti ada seorang staff je la yang tinggal kat office. Sebab staff lain pergi buat audit kat company client. Jadinya, rasa risau kalau tak lepas. Walaupun bos tak pernah kata tidak untuk setiap permohonan cuti kami.

Pagi tadi, dah mula menghafal doa untuk dipermudahkan urusan. Alhamdulillah. Aku janji aku takkan menyesal apapun kalau pun aku tak dapat apa yang aku nak. Allah janjikan yang terbaik. Cumanya, aku berharap sangat yang Allah akan lembutkan hati bos untuk membenarkan cuti aku hari Jumaat ni.

Tolong doakan aku. Huuhuhu.

Nak pergi Penang sebab kawan aku ajak bercuti. Ohyeaahhh! Aku dah lama tak bercuti. Last bulan 4 hari tu pergi Sabah. Dan cuti aku masih berbaki 10.5 hari lagi. Aku jarang bercuti. Sangat jarang. So, aku tak nak lepaskan peluang untuk bercuti merehatkan minda menambahkan iman dan meluaskan pemandangan.

Moga Allah beri mudah.

sumber: http://mawarshauqa.blogspot.com/2013/06/doa-dipermudahkan-urusan.html

Tuesday, September 23, 2014

seorang

Hari ini keseorangan lagi. Dan mula merindukan emak.

Bosan hingga sakit kepala. Rasa nak lari dari lambakan file atas meja ini.
Tapi mahu kemana ya?


Monday, September 22, 2014

Sahabat sentiasa

Aku ada seorang sahabat. Kenal sejak di Uitm. Tapi, mula rapat sejak hujung tahun lepas. Bersama-sama mencari rumah sewa. Dan jadi roomate. Hampir setahun berroomate, akhirnya dia pergi tinggalkan aku. Tinggalkan aku untuk pergi ke tempat yang lebih baik. Dia dah dapat offer government sebagai akauntan. Dan akan bernikah tahun depan.

Aku dan dia bukan jenis yang manjang di rumah sewa. Rumah parents dia di Rawang. Dan aku pula di Tanjong Karang. Jadinya, hujung minggu kami banyak di rumah parents berbanding rumah sewa. Dan terkadang dia kena pergi HQ office dia di Dayabumi, dia akan balik Rawang. Dan aku pula, kalau aku bosan dan nak tengok TV puas-puas, aku balik rumah kakak aku.

Tetapi, sekali kami berjumpa, kami akan bersembang hingga ke tengah malam. Tak sedar yang esok akan bekerja. Hehe. Dan aku pula memang set handphone berbunyi setiap jam bermula pukul 4 pagi. Berlatih untuk bangun malam. Tapi banyak kali kecundang. Dan dia lah yang tersedar dengan alarm aku berbanding aku yang masih lena. Esok paginya, dia akan membebel dengan aku. Dan ianya berlaku hampir setiap pagi. Hehe.

Banyak cerita yang kami kongsi bersama. Dia sungguh baik. Aku harap, bakal suami dia akan berasa sentiasa beruntung dengan adanya dia. Aku tahu dia banyak mendiamkan diri bila tak puas hati dengan aku. Dia banyak simpan aib dan rahsia aku. Dia seorang yang amanah.

Bulan ini bulan terakhir kami sebagai roomate. Walau demikian, aku akan tetap ingat dia. Dan sejak akhir ini aku mula rasa sedih menyelubungi. Rasa tersayat hati. Tersiat jiwa. Sangat sakit. Akhirnya aku berpisah lagi dengan seseorang yang aku sayang. Sakitnya perpisahan. Sangat sakit.

Ada banyak perkara aku belajar sepanjang kami bersama. Belajar erti sabar. Belajar erti amanah. Belajar erti kehidupan. Aku punya satu rasa yang negatif. Cepat bosan dengan orang dan benda sekeliling. Tetapi dengan dia aku tak sempat rasa bosan. Mungkin sebab dalam seminggu jarang sekali 7 hari bersama. Dan sebab itu aku rajin tidur rumah kakak aku, rajin balik kampung. Sebab aku cepat bosan. Tapi aku cepat merindukan. Tetapi, alhamdulillah dia tak pernah buat aku bosan.

Dan hari ini aku keseorangan di office. Semua keluar pergi buat audit. Dan sedih mula menyelubungi aku. Bila mengenangkan hari ini sudah 22 haribulan. Aku bukan sahabat terbaik untuk dia. Tapi dia sangat baik. Bila keseorangan sebegini, aku sentiasa ingin mengunyah. Dan tadi, seorang sahabat datang bagi keropok dari terengganu bersama sagon dan kacang tumbuk. Lalu mengantuklah mata untuk membuat kerja-kerja pejabat.

Aku harap dia sentiasa dalam redha Allah. Sentiasa berseri-seri wajahnya seperti nama dia. Sentiasa menjaga aurat dia. Sentiasa menjaga solat dia. Sentiasa meningkat iman dia. Sentiasa. Dan sentiasa.

Thursday, September 18, 2014

Halalan Toyyiban

" just nak confirmation dari kawan-kawan. Boleh tak makan kat kedai free-pork and halal chicken but serve beer. Ada pekerja melayu. Contohnya fatty crab"

"Kalau was-was baik tak payah"

" Aku tak was-was makan ketam tu. Cuma environment tu membenarkan ke tak?"

"Setahu aku, kat Malaysia ni banyak pilihan kedai makanan yang lebih menyakinkan. So, elakkan dari makan kat kedai tu untuk menjaga hati dan iman. Tpi kalau kat oversea, kedai pork free tapi hidang beer. Dan kedai Islam. Dan cari makanan halal sangat limited. So, tak ada masalah"

"Baik dielakkan yu maksudnya boleh makan ke haram dimakan?"

"pijak taik tak haram. Tapi lebih baik kau mengelak dari pijak taik. Betol tak? Ke kau lagi prefer nak pijak taik juga padahal banyak agi jalan yang tak ada taik kau nak pijak? Hanya perumpamaan"

" Mak ai. Kau punya perumpamaan"

"Ok, tukar. Pegang babi. Tak dosa pun. Tapi kalau kau saja-saja pegang, mesti kau tak nak pegang kan?Menyusahkan pula nak samak dan sertu. Kecuali anjing tersepit. Babi terjatuh. Boleh tolong selamatkan. Tapi tu pun kadang-kadang kita buat tak nampak"

" Kalau makan kat kedai tu, apa pula susah selepas itu? kalau pegang anjing kena sertu kan..."

"Susahnya tiba-tiba kau disogok dengan kata-kata yang menyakinkan bahawa makanan kau mungkin halal. Tapi tak  toyyiban. Dan tiba-tiba pula kau rasa was-was dengan makanan kau. Padahal awal-awal kau yakin yang makanan kau tu halalan toyyiban sebab masa tu kau kepingin sangat makan ketam tu.

Kan nyusahkan namanya.

Lebih baik tinggal. Sebab tak ada kelebihan pun dalam iman dan amal makan makanan yang tak toyyiban. Ya. Mungkin halal, tapi tak toyyiban. sedang kita disuruh makan makanan yang halal dan toyyiban. Agar iman dan amal terjaga.

Tapi kalau kau yakin makanan tu halalan toyyiban, makan la. Moga-moga makanan itu baik-baik saja. Dan amal kau terjaga. Iman kau makin bertambah. Semangat dakwah semakin menebal. Semangat untuk bekerja lagi meninggi. Perasaaan syubhat juga semakin menghilang. InsyaAllah."

" Bagus kau. Atleast, perbincangan macam ini buat aku lagi tak nak makan kat situ. :)"

" Pendapat aku, jangan ambil sebagai hukum. Nabi kata, kalau kita confused, ambil fatwa hati. Tapi masa itu, ilmu di dada kena lah mantap. Hati yang penuh ilmu akan disuluh cahaya. Bukan hati yang dipenuhi zulmat. Sesat lagi menyesatkan.

Cuba tanya kat ustaz dan ulamak yang lebih arif.

Tak apa, tak dapat makan kat Faty Crab. Kija jaga amal, jaga iman. Nanti kat syurga macam-macam boleh makan. Jangankan Faty crab, kalau teringin sangat nak rasa babi panggang pun Allah bagi. Sebab kat syurga semuanya halal. Kalau teringin la nak rasa babi panggang macam mana. :)"

"Kalau lah aku ada abang ke atau adik lelaki. Dah aku promote kau ni. Bagus. Calon isteri solehah"

"Alhamdulillah. Allah yang bagi ilham. Allah yang bagi kau rasa aku bagus. Tapi hakikatnya, aku ni tak bagus. AKu ni banyak lagi ilmu kena belajar. Aku ni banyak kekurangan. Tapi Allah sembunyikan aib aku.

Mari belajar agama"

Monday, September 8, 2014

ujian jasad

Demam itu berasal dari didihan api neraka. Maka sejukkanlah dengan air

Aku diuji jasad dengan demam panas yang tak kebah lagi sejak sabtu yang lepas. Alhamdulillah tika itu aku dikampung. Dirumah emak. Dan aku MC hari ini. Mungkin akan berlanjutan hingga ke hari rabu. Namun aku berharap aku akan pulih secepat yang mungkin.

Aku bukan pemakan ubat. Tapi sebab aku sendiri tak tahan dan paksaan emak,aku dah telan hampir 2 papan panadol.
-faiza maridhtu fahua yasyfi ; ketika aku sakit, Dia yang menyembuhkan-

Bukan panadol itu yang sembuhkan. Tapi Allah jua yang bagi sembuh. Ubat itu asbab je.

Mulut pahit. Makan apa sahaja rasa begitu sakit untuk ditelan. Allah. Bagi sembuh pada aku.
Sahabat,tolong doakan aku ye. Demam ini sangat sakit.Terima kasih.

Wednesday, September 3, 2014

Ujian hati

Manusia memang selalu mengecewakan. Sebab itu, selalu ingatkan hati dan perasaan jangan mengharap pada manusia. Sedang kita sendiri selalu mengecewakan manusia yang lain. Tanpa kita sedar. Dan adakala kita menyedari dan mengetahui. Bukan senang nak puaskan hati setiap manusia. Sebab hati manusia itu sendiri tidak pernah rasa puas dengan apa yang dimiliki. Jangan tengok hati manusia lain, tengok pada hati kau. Kau juga manusia kan?

Jika sudah begitu, kenapa mesti kau melayan perasaan kau. Mengharap yang dia akan berterima kasih atas segala bantuan yang kau pernah hulurkan dengan memenuhi ingin kau. Dia mungkin tidak sedar yang dia telah menghampakan kau tika kau benar-benar butuh akan dia. Sedang dulu ketika dia tiada siapa-siapa yang boleh menolong, kau datang pada dia cerita tentang kesudian kau. Namun sekarang ini segalanya berubah bila dia punya yang lain yang sentiasa ada untuk dia. Lalu ditolakmentahkan kau yang membutuhkan dia.

Bersabarlah wahai hati. Tika ini, Allah mahu kau letaksandarkan harapan hanya pada Dia. Bukan pada manusia. Dan Allah juga tak mahu kau merasakan yang manusia mengharap pada kau lalu bersukaria lah kau yang kau ini selalu diperlukan oleh yang lain.

Tidak mengapa dia tidak mahu. Tidak mengapa jika dia tidak bertimbangrasa dengan kamu. Tidak mengapa akan semua itu. Hak manusia yang lain, kau perlu tunaikan. Wajib. Namun hak engkau sendiri biarlah Allah yang tunaikan. Kau telahpun tunaikan hak sebagai orang yang membantu jika diperlukan.

Dan sekarang ini, kau lihat dia terkontangkanting. Allah mahu menguji kau sekali lagi, bagaimana hati kamu. Setelah kau tersakiti, mahu hulur bantu lagi atau mendiamdiri.

Siapa pun kau, maafkan aku. Kadang aku terlalu mementingkan diri. Kadang aku terlalu penat untuk penuhi semua yang kau ingini. Hingga aku tersakiti. Lalu berdiam diri lebih baik. Menjauhkan diri itu yang terbaik. Untuk aku rawat hati sendiri.

Friday, August 29, 2014

Assalamualaikum wbt

Semalam, 28.08.2014 office kami buat Jamuan kesyukuran. Bukan jamuan hari raya sebab semalam sudah melangkah 2 Zulkaedah. Lebih kepada Jamuan kesyukuran bersempena office kami yang sudah di makeover. Alhamdulillah. Penat memang penat. Pagi tu aku sampai office lambat. Sebab tidur hanya beberapa jam. Tak tahan mengantuk. So, stop kejap. Tidur. Sedar-sedar dekat sejam aku lena. 

Alhamdulillah. Akhirnya dapat berjumpa dengan para client yang selama ni hanya berkomunikasi dalm email dan telefon je.








Puding tautan kasih. Mula-mula elok tersusun love shape tu tanpa tunggang terbalik. Sekali esok, bila diterbalikkan, hancur pula. Air banyak sangat, tapi serbuk jelly kurang. Aku buat balik dan susun balik. aku dah tak larat nak betulkan. Jadilah macam kat atas tu.




Moist choclate cake. Ni pun terpecah sikit kat tepi tu. Alhamdulillah, jadi juga. Sedap lagi. Allah yang bagi sedap. Biasa buat kek ni dalam bekas kecil-kecil. Bila sekali seketul letak atas talam, presentation lemau sedikit.



Hakikatnya, aku memang belum lagi creative. Strawberry cheesetart. Api oven besar sangat tu yang terkeluar strawberry filling. Yang ni memang awal-awal lagi dah habis. Bila dah habis majlis, bos tanya pula kuih ni. Alahai, tak ada rejeki bos nak rasa.



Sate mak. Bertungkus lumus juga membakar di pagi hari. Terima kasih emak.



.
Puding roti nani rostam. Tergeseng sedikit. Sebab aku tertidur malam tu tanpa tunggu ianya masak dari oven. Tapi, habis juga. Aku rasa, tetamu kami sangat tidak menghakimi rasa dari segi rupa. Hik hik. Ada sos kastard dia. Tapi tak ada gambar pula.



Karipap dan donut. Shida order. Keduanya aku tak sempat rasa. Macam sedap je, sebab aku tengok orang ambil berkali-kali.
Nasi tomato. Mamat tu punya menu. Ini pun aku tak sempat nak rasa.


Cream puff dan lemang. Lemang sponsored by En Z. Tuan pengarah kami. Terharu sangat.  Alhamdulillah Allah bagi izin ia join majlis kami. Sedap sangat sangat creampuff ni. Favaourite. Tapi tak larat nak buat sebab sangat leceh pembuatannya. Bos bawa. Dia kata, wife dia order dari kawan wife dia. Sampai sekarang aku dapat rasakan sedap nya creampuff itu. Tetiba teringat creampuff ija. Serius, sama sedap.




Kueytiaw ni pun mamat tu punya menu. Sedap. Lagi-lagi tang udang. Dapat rasa sedikit sahaja. Alhamdulillah. Kalau tak mahu nya terleleh air liur.



Kambing bakar. Pergh!!! Ini pun sponsor. Sponsored by kawan bos. Baik hatinya. Alhamdulillah. Kami simpan satu bekas untuk kami-kami sahaja. Hehe. Tak tau nak kata apa. Tapi, memang sedap. Office ni semua menggemari makanan kegemaran Rasulullah.





Nasi arab ayam. Sedap juga. Tapi sebab kambing tu lagi megancam, aku rasa kambing lagi win.




Ini lah anak buah kami. Budak soleh ni sama lahir dengan aku. weeeeee. Nanti hujung tahun ni kita sambut birthday bersama ye Akif. 


 


Sebahagian dari ruangan kegemaran kami seisi pejabat. Hehe

Tuesday, August 26, 2014

Terima kasih

Syukur dan berterima kasih
Kepada Tuhan yang Maha Pengasih

Dikurniakan rasa sentiasa bertuhan
Itulah sehebat-hebat perasaaan
Rasa terima apa yang ditakdirkan
Hilang segala gundah datang ketenteraman

Sakit itu datang dari Tuhan
Minta Dia menyembuhkan
Minta Dia menghilangkan
Minta Dia menyabarkan

Sakit hati atau sakit badan
Nyatanya keduanya sakit bersangatan
Dan mula timbul kesah dan keluhan
Segeranya kembali kepada Tuhan

Akhirnya, sakit itu ditiadakan
Hilang dari pandangan dan perasaan
Terima kasih Tuhan
Terima kasih yang bersangatan

Kegemaran

Cerita Kuantan.

Sabtu lepas, aku memenuhi jemputan walimah sahabatbaik UiTM di Felda Chini, Pahang. Jumaat petang, balik kerja terus pergi rumah kak aku kat puncak alam. Ada banyak reason kenapa nak tidur rumah dia malam tu. Satu, sebab aku nak mendobi baju. Rumah sewa tak ada mesin basuh lagi. Dua, rindu kat izzat. Kak aku cerita minggu lepas masa dia nak pergi kelas pagi-pagi sabtu, izzat terjaga sekali. Then, dia pun nangis kat tangga lepas kak aku pergi. Adik aku cerita izzat menangis sambil panggil nama aku. Oh, sayu sangat! Tiga, aku nak buat pavlova. Dapat order 2 biji pavlova. Alhamdulillah.

Pagi tu, masa nak menggosok baju, Allah takdirkan baju aku terbakar. Sedih juga. Sebab jubah hitam kegemaran aku. Then, pergi cari baju lain dan tudung lain. Lepas mandi, tudung aku jatuh kat lantai. Jadinya, komot balik. Masa nak menggosok, Allah takdirkan sekali lagi tudung tu pula yang terbakar. Sangat stressed! Tudung tu pun tudung pink kegemaran. Cari tudung ala-ala pink yang lain. Aku bersangka yang Allah mahu kurniakan aku satu set pakaian yang lebih cantek dan lebih menjadi kegemaran. InsyaAllah.

Lalu, terlambatlah gerak ke Chini. Tak sempat jumpa seorang kawan yang dah balik dulu sebab dia sampai awal. Sebab bawa BMM, aku seorang je yang drive tanpa berganti dengan sesiapa. BMM adalah manual. Sangat cool, bawa manual. Hehe

Malam tu, tidur di rumah makcik kawan aku. Tapi, sebelum tu, masa singgah solat jamak takhir di masjid negeri, kuantan handphone kawan aku terjatuh terlangkup. Maka, pecah lah LCD phone dia. Allahu. Allah benar-benar menguji perjalanan kami. Dan Dia mahu gantikan sesuatu yang lebih baik untuk kami.

Sangat best perjalanan kami. Alhamdulillah. Gerak balik pukul 6.30 pagi selepas subuh. Sangat indah perjalanan pagi itu diselubungi kabus di lebuhraya pantai timur. Nyaman. Alhamdulillah. Berbaloi perjalanan ini.

Wednesday, August 6, 2014

salam

Salam lebaran buat kamu yg budiman
Salam ramadhan yg semakin ingin meninggalkan
Utk hak yg tak ditunaikan
Ku mohon seribu kemaafan
Moga ditemukan lagi ramadhan tahun hadapan
Utk kita hirup nikmat kasih sayang Tuhan
Dan sama menjalinkan kasih sayang dan keharmonian

-fam _ 28 ramadhan 1435h

Friday, July 25, 2014

Ramadhan & Syawal

Ramadhan semakin laju meninggalkan. Moga akan bertemu lagi ramadhan yang mendatang. Tiada apa yang mahu ku katakan melainkan syukur pada Mu atas nikmat yang tak terhingga.

Salam lebaran buat semua. Moga kemenangan ini adalah kemenangn yang haq. Maafkan aku anadai terlebih atau terkurang hak.

Semoga selamat sentiasa dalam iman.

Wednesday, July 23, 2014

Friday, July 18, 2014

kesejahteraan MH17 & MH370

kau adalah anak muda
yang gagah perkasa
pergilah berjuang ke sana
kan ku doakan kau mendapat syurga

--

aku berdoa
aku berharap
agar diampuni malaysia
agar diampuni pimpinan kita
agar diampuni rakyat kita
agar diampuni segala dosa
agar diampuni segala korupsi yang berjela
agar diampuni fitnah yang berleluasa
agar diampuni amanah yang leka
agar diampuni zina yang sentiasa ada
agar diampuni segala dosa
agar diampuni segalanya
segalanya

--

disebalik tragedi
ada yang menangisi
ada yang lega hati
ada yang sedih hati

habat rancangan Dia
hanya Dia tahu apa adanya
hanya Dia
bukan aku tidak mereka
bukan kami tidak kita
hanya Dia
jadi minta pada Dia
minta agar dimudahkan segala

--

Thursday, July 3, 2014

Penekanan yang sedih

Sejak akhir ini terasa ada sesuatu yang menekan kepala. Kerap. Sehingga rasa berat dan penat. Dan kecundang sebelum waktu bekhidmat berakhir. Lalu minta pulang awal dengan mengirimkan pesanan maya.

Namun, bila pertanyaan dilontarkan kenapa sebegitu kerap terasa sesuatu itu semakin menekan lagi. kali ini di awal pagi. Tidak percayakah kau kepada aku?

Mungkin kerana menghadap kotak cahaya didepan ini yang membuat aku tidak mampu untuk menghadapnya lagi. Atau mungkin kerana makanan yang dimakan tidak sesuai dijamah ketika perut tiada isi. Atau mungkin juga aku sudah tidak berdaya lagi. Yang pasti, kemungkinan yang nyata Allah sedang mengambil sedikit demi sedikit punya Dia.

Sedikit ditekan bila aku dipersoalkan. Serasanya, kurang sudah rasa percayamu kepada ku. Bulan dah menginjak ke tujuh. Namun ketidakhadiran ku kerana sakit hanya dua. Selebihnya balik awal yang berganti. Dan semuanya sudah berganti.

Tahukah engkau yang tekanan kerja ini yang menekan kepala ku. Deretan fail yang meminta untuk diselesaikan dengan segera yang menekan kepala ku. Panggilan dan permintaan mereka yang minta cepat dan sekarang ini yang menekan kepala ku. Ditambah lagi hambatan dan karenah sekelilingku.

Tolong jangan mempersoalkan seolah engkau tiada percaya. Aku sedih. Dan aku bisa mengundur diri dengan pantas. Walaupun aku bukan sesiapa. Tetapi, tolong aku untuk tidak mempersoalkan aku. Persoalan yang tiada percaya. Aku sedih.

Monday, June 30, 2014

masalah

Ya. aku ada masalah.
Jadi semua orang nak bermasalah dengan aku.
Memang masalah.

Friday, June 27, 2014

Ramadhan

Ramadhan kian menjelma. Moga ada secangkir rahmat untuk aku dan mereka meneguk nikmat ramadhan.
Maaafkan aku wahai kamu dan mereka atas semua salah aku. Dan aku telah merelakan jiwaku untuk memaafkan kamu dan mereka. Moga-moga andai ada permusuhan antara kita akan menjadi satu hubungan yang indah dan harmoni.

Jagalah Tuhanmu. Nescaya Dia akan menjagamu. Menjaga setiap apa adanya kamu. Menjaga setiap yang berhubungan dengan kamu. Setiap. Itu janji Dia.

Bilamana kamu ada masalah dalam perhubungan, rujuki hubungan mu dengan Tuhan kamu. Selidiki apa yang biasa nya dibuat tapi telah culas. Perhati jagaan solatmu. Dia sedang menegurmu melalui mereka.

Moga ramadhan ini membawa sinar hidup yang sangat indah dalam naungan sayang dan kasih Tuhan.

Tuesday, June 24, 2014

galau

durjana apakah yang sedah merasuk hati
puas sudah di putihkan kelmarin lagi
dan dikelabukan semula dengan segalanya yang berlaku hari ini

tak semua orang cepat dan tangkas
tak semua orang mudah dan segera
tak semua orang
tapi kau anggap yang cepat tangkas mudah dan segera itu adalah semua orang
celaka apakah yang kau sedang alami?

dengan dia yang tiada kaitan apa sanggup kau berjanji segala
tetapi dengan mereka yang saudara kau ketepikan semua
kau tolak apa mahu dan ingin dia
kau nafikan apa yang dia cerita
kegilaan apakah yang  kau sedang kau rasai?

gasaklah semuanya
biarlah segalanya

mari datang pada Tuhan
mari alunkan apa yang Dia FIRMAN kan
mari hayati apa yang Dia sedang bicarakan

agar tenang kau dengan alunan FIRMAN TUHAN

Tuesday, June 10, 2014

Melecet

Hujung minggu yang indah. Di kampung bersama keluarga. Menghargai nikmat dunia yang tiada tandingan. Menikmati makanan syurga didunia. Air tangan emak. Dan paling best, sekarang ini adalah musim buah kuini. Ada juga yang menyebut kuini. Macam buah bacang. Tapi lagi manis kuini tersebut. Emak buat dessert kegemaran kami. Rucuh Kuini. Buah kuini yang masak dipotong dadu. Dicampur dengan air santan. Ditambah sedikit garam untuk beri rasa lemak. Dan jangan dilupa dengan gula yang membuat rucuh itu manis yang nikmat. Lagi sedap dibiarkan dalam peti sejuk dan dimakan ketika dingin. Tetapi sebab tak sabar dicampur dengan ais. Walaupun ianya akan menjadi sedikit cair, namun masih tetap sedap.

Seingatku sepanjang hari jumaat hingga ahad, emak buat tiga kali. Alhamdulillah. Aku tak pasti kau pernah merasa atau tidak. Nak kata ini makanan orang jawa, ada juga yang jawa tidak pernah tahu. Tapi yang pasti ini adalah dessert teristimewa keluarga kami.

--

Disatu ketika, emak tanya.

"Kenapa kereta kau melecet?"

"Ha? Melecet?"

"Kesian dia. Sakit. Calar. Melecet."

"Owh. Terlanggar tembok. "

Aku tak sangka emak perasan dengan "kemelecetan" yang dialami BMM. Sebab masa hujung minggu itu, ramai yang balik. Jadi BMM agak tersorok disebalik kereta lain.

Sayang emak. Itu je yang mampu aku kata. Dia perhati aku dalam diam.
:)

--

Isnin half day. Agak bercinta juga nak melangkah balik ke shah alam tengah hari itu.

Kerja menimbun.
:(

Monday, June 9, 2014

Diam

Ini puisi orang bersendirian
Yang tiada kerjaan
Dipetang yang nyaman


Diam
Tapi jangan pendam
Nanti jadi dendam
Lalu, hidup pun kelam

Diam
Tetap senyum walau masam
Hidup ini banyak ragam
Mari mencari "adam"

Adam
Dimanakah adam?
Lamanya mendiam
Bila nak bawa aku kerumah agam?
Indah tersergam
Kita berdua bersemayam
Bercerita hingga malam

(fam)
--

Jangan dicari adam
Kerana adam itu bermaksud tiada
Carilah Muhammad
Kerana Muhammad itu bermaksud tempat terpuji
Carilah tempat terpuji untuk dirimu
Untuk dijadikan teman hidupmu

(sahabat)

Friday, June 6, 2014

Setelah

Kita perlu satu hari. Hanya satu hari. Satu hari satu bulan. Satu hari satu tahun. Atau boleh juga satu hari satu umur. Moga akan ada satu hari itu.

Hari untuk kita menyendiri. Hari untuk kita menginsafi. Hanya seorang diri. Di satu tempat yang sunyi. Tempat yang suci.

Ku tinggalkan semua. Ku relakan jiwa. Ku biarkan rasa. Untuk sembah pohn pada Yang Esa. Untuk harap ampunan dia. Untuk gapai redha Dia. Semoga terlaksana.

--

Aku ada janji dengan trainee student nak buatkan kek choc moist untuk mereka. Hari ini, hari terakhir mereka. Malam tadi balik rumah kak aku yang tiada siapa dirumah. Sebab kak aku balik kampung. Cuti sekolah kan. Entah kenapa malam tadi tak fokus buat kek. Berkhayal memikirkan macam-macam. Kek choc moist yang dah berpuluh adunan aku buat. Termasuk tempahan untuk kenduri kahwin. Adunan kek yang aku tak perlu rujuk resepi lagi untuk membuatnya.

Tetapi malam tadi aku tersilap. Sepatutnya telur dipukul berasingan hingga berbuih bersama esen vanila. Tapi, aku masukkan telur tu dengan adunan koko. Patut pun aku musykil seolah ada sesuatu yang tak cukup. Serbuk koko pula sudah habis. Tak dan nak keluar lagi dah nak beli  koko. Malam dah. Mengantuk pun dah.

Alhamdulillah menjadi. Walaupun tak segebu yang biasa. Ok, dah settle. Setiap orang dapat sebekas.

--

Adik ipar akan melangsungkan nikah petang ni selepas solat jumaat. Malam tadi kak aku sampai di Shah Alam dari JB. Rombongan dari JB yang lain dah sampai Shah Alam semalam siang lagi. Adik ipar kak aku, popoi, dapat orang Klang.

Tapi, malam tadi masa diorang balik dari downtown seksyen 23, popoi eksiden kat traffic light depan uitm. Kereta yang melanggar tu langgar lampu merah. Popoi hanya mengalami kecederaan ringan. Tangan dan mulut tak luka. Cuma kaki sedikit luka. Jadi, majlis akad nikah boleh berjalan seperti biasa. Alhamdulillah. Darah manis kan.

Kak aku kata, dugaan orang nak berkahwin. Tapi dugaan orang yang belum berkahwin lagi hebat. Nak kahwin asyik tak dapat. Aku tak faham. Tapi, bila kak aku kata abang ipar aku gelakkan aku, baru aku faham. Itu satu perlian. Kekeke

--

BMM aku tercium tembok. Buat pertama kali. Bukan calar yang biasa. Tapi calar bersama luka yang dalam. Hati aku juga sedikit calar. Tak apa. Alhamdulillah. Allah masih bagi izin guna lagi BMM tu.

--

Setelah lama tiada cerita.

Wednesday, June 4, 2014

pelangi indah


--

adapun pandangan lelaki ini pada gadis rupawan umpama pelangi yang indah. warna dan bentuk susunannya menyebabkan mata mereka itu statik tidak berkelip. mata itu kemudiannya mula berbisik-bisik dengan anggota badan lainnya agar mencari akal bagaimana untuk mendekati pelangi itu walaupun mustahil. dan sudah tentulah hati adalah sasaran utama menjadi mangsa pujuk rayunya.

dan hati itu terus berbisik, "ah, bagaimana harus aku belai pelangi itu?". dan kemudian ia menuju ke akal. apabila mata, hati dan akal sudah sebati, maka apatah lagi anggota badan lainnya.

sekarang, saudari bayangkan, pelangi yang indah itu dilindungi oleh pokok-pokok yang besar, hutan-hutan rimba, awan-awan yang tebal dan hampir tidak nampak melainkan sedikit sahaja.

maka sudah tentulah hati akan meronta-ronta kerana mata hanya mampu melihat sedikit sahaja. maka hati pun terus mengadu kepada akal yang bijaksana adanya itu. akal, oleh kerana kesian dengan hati yang tengah membara keinginannya itu terus mengeluarkan satu kotak paparan imaginasi dan fantasi yang boleh mengalahkan mana-mana pembuat ceritera-ceritera duniawi ini.

sedikit demi sedikit helaian daun itu tersingkap, sedikit demi sedikit pokok-pokok itu dialihkan dan lama-kelamaan lengkaplah segala bentuk pelangi itu dibayangkan setiap saat dan ketika sehingga kepada masa tidur yang amat menggelisahkan! oh, seksanya!

saya rasa setakat itu sahaja dahulu. saya kira saudari lebih memahaminya barangkali. saya ini cuma seorang pengemis tua dan miskin, dan masih juga ada permintaan-permintaan yang ingin diajukan. anggaplah ia permintaan daripada saya dan bukanlah satu teguran.

--

terharu. menunggu.


Friday, May 23, 2014

Selamat

Ada yang terluka
Maafkan aku
Aku tak daya mengikuti seperti yang direncana
Aku tak mampu penuhi impian mu

--

Segala puji bagi Dia
Memudahkan bicara
Melembutkan nada
Menyejukkan kata

--

Terkadang aku tertanya
Dan kadang juga tak sabar rasanya
Menunggu penghujung cerita
Apa yang berlaku sebenarnya

--

Kenangan terimbau kembali
Rasa terusik lagi
Tak mengapa kau menanyai
Aku tak sedih hati
Cuma rasa rindu muncul lagi
Rindu akan suasana yang pernah dikecapi
Rindu akan rasa mencintai
Rindu akan bahagia yang pernah dinikmati

Rindu lagi.
Dan lagi.

--

Selamat. Moga selamat.

Tuesday, May 6, 2014

Satu pahit bersama tiga kemanisan

Payah untuk berterus terang
Tapi itu perlu untuk hati menjadi lapang
Walau pahit untuk rasa itu diulang
Namun pahit itu akhirnya terbuang

--

Berbicara dengan dia
Hari ini berlalu bahagia
Dia mengajak ku kesana
Apakah ajakan semata
Atau ianya benar dan nyata?
Tapi boleh juga ya
Oh sukanya

--

Dan tadi dia menghampiriku
Aku sedikit terkaku
Dibuai mimpi salju
Hanya sekejap itu
Namun bahagia datang memburu

--

Semakin aku cuba melupa
Semakin kerap dia datang menerpa
Dalam setiap sesuatu pasti dikait dengan dia
Dalam setiap sesuatu pasti terbayang dia
Meski dia aku tak pernah berjumpa
Meski dia hanya di alam maya
Meski dia aku kadang geram juga
Meski dia entah siapa siapa

--

Apapun tafisrmu
Terserah padamu
Itu hanya apa rasaku
Ku luah mencarai begitu
Cuma fikir yang baik-baik selalu
Dan yang baik-baik itu akan datang padamu


Tuesday, April 29, 2014

Tanah aina di sana

Sangat mensyukuri untuk keberadaan saya dan sahabat disini
Sangat tenang dan nyaman sekali
Terasa hilang sebentar segala tekanan yang dialami
Minggu yang sangat memenatkan mental, perasaan dan diri
Dengan keputusan yang sangat "last minute" ini
Kami datang kesini
Untuk menikmati keindahan ciptaan Tuhan yang semulajadi
Tanpa ada tenakanan dan gangguan yang menyelimuti
Saya bertemu dengan satu rasa yang sangat indah dan beremosi
Betapa agungnya Ilahi
Betapa perkasa dan berkuasanya Ilahi
Moga dengan nikmat sebegini
Akan mendekatkan lagi Tuhan dengan diri
Akan membuat kesyukuran atas nikmat sentiasa bersarang dalam hati
Moga akan datang kembali
Walaupun mengambil keputusan untuk "free & easy"
Tanpa mengikuti program di hutan seperti dalam jadual yang diberi
Kami sangat gembira dan senang hati
Terima kasih Allah atas kebertuahan ini
Terima kaish Allah atas kasih sayang Mu, kami disini
Terima kasih Tanah Aina kerana menerima kami
Terima kasih. Moga sentiasa diberkati dan dirahmati

Segalanya baik-baik dan bagus rasanya
Layanan dan sambutan mesra
Dari semua kakitangan dan pekerja
Tolong jaga alam ini ya
Sentiasa. Ya. Sentiasa
Moga bergedung-gedung pahala diterima
Kerana membawa manusia itu dekat dengan Tuhannya
Surau yang sangat indah buatannya
Terasa hening dan syahdu bila sujud pada Nya
Oh indahnya
Oh Alhamdulillah atas nikmatnya
Wahai Allah rahmati dia dan mereka
Yang membawa kebertuahan ini pada saya
Terima kasih ya--

*Ditempat indah sebegini, idea datang membanjiri







Wednesday, April 23, 2014

Tanah Aina

Tekanan kerja yang menghamba
Seolah mahu berlari kemana saja
Mahu mencari pemandangan indah saujana
Moga hilang bebanan yang dirasa

Dan lusa mahu kesana
Mencari tenang yang mungkin ada
Melihat kebesaran Tuhan pada alam semesta
Moga akan dilaksana dan disempurna

Tanah Aina--

Monday, April 21, 2014

berdikari

Dari kecil, secara tak sengaja orang tua ku mengajar aku berdikari. Tidak terlalu mengharap pada orang lain. Segalanya lakukan sendiri. Dari itu, aku menjadi lebih berani. Berani berhadapan dengan orang. Berani menerima cabaran.

Aku ok kalau ditinggal seorang dirumah. Dan emak lebih percaya jika aku tinggal kat rumah seorang. Berbanding jika kakak yang tinggal dirumah, mesti akan ada seseorang yang lain turut tinggal di rumah.

Ketika belajar, aku ok kalau join dengan geng-geng lain. Maksud aku, masa belajar kita ada geng kita sendiri. Geng bilik, geng kelas, geng kuliah. Dan sehingga kini, jika ada gathering geng, muka aku hampir ada  dalam setiap geng yang berlainan.

Bila mula bekerja, situasi hampir sama berlaku. Bos ok kalau aku seorang diri di office untuk cover urusan pejabat. Tetapi, kalau staff lain, mesti dia bukan berseorangan. Dan bos juga ok untuk membiarkan aku berurusan dengan client seorang diri tanpa dia join meeting tersebut. Walaupun grammar aku entah apa-apa, tapi aku rasa confident bile meeting dengan pakcik korea tu, sebab grammar dan spelling dia pun entah apa-apa pada pendengaran aku.

Mungkin aku antara staff yang terawal dalam firma ini, jadi pada mulanya dulu bos pasti akan mengajak aku untuk turut serta dalam meeting walaupun aku hanya tersenyum dan mengangguk saja sepanjang meeting tersebut. Dari situ, aku belajar banyak perkara berkaitan dengan communication skill yang tak pernah diajar oleh guru mahupun pensyarah.

Walaupun aku pernah ditegur oleh client yang aku ini tidak mesra ketika menyapa dalam telefon, mahupun ada trainee yang tidak puas hati bila menerima arahan dari aku. Aku telah cuba berubah. Bila aku melembutkan suara dalam telefon, ada client office sebelah aku kata suara aku seolah mengada. Sebab aku yang call dia, dan saja buat menyamar suara dengan dia. Dan ya! Dia tak cam suara aku. Dan ada satu ketika seorang sahabat menelefon nombor office kerana aku tidak menjawab panggilan telefon bimbit. Dia kata, suara aku lembut sungguh. Mungkin agak berlainan bila berbual di alam nyata. Cuma be professional saja.

Dan bila aku mula berlembut dengan trainee, bicara mereka seolah biadap pada pendengaran aku. Suara terlalu lantang, dan agak kuat melawan. Tapi, aku ok. Time kerja, aku memang serious. Aku tak suka jika mereka tidak endah dengan kerja dan dokumen klien. Bila mana luar waktu pejabat, aku boleh bergurau dengan mereka dan berkongsi cerita.

Walaupun begitu, aku juga punya hati yang lembut. Andai sudah selalu digasak dengan kekerasan aku juga bisa menangis. Andai sudah selalu digasak dengan tekanan dan penyeksaan aku juga bisa meraung. Nangisku semudah marah ku. Aku juga punya hati seperti taman bunga. Sebab aku juga perempuan. Memang aku berdikari, tapi aku juga kadang perlukan seseorang. Bila semua diletak dipundakku, aku juga kadang lemah.

Tolong, bersama aku bina masa depan. Terima kasih.

Wednesday, April 16, 2014

membangga

Dalam hidup ini, terlalu yakin juga tak perlu. Kerna ia kadang sangat memalukan. Jangan juga terlalu mendabik dada.

"Saya tak pernah menyusahkan sesiapa"
"Aku tak pernah tinggalkan kerja kat orang lain"

Kita tidak tahu bilamana seseorang itu berusaha untuk menyelesaikan kerja cebisan dari yang kita rasa sudah selesai dan sesuatu perkara tanpa kita tidak tahu dan tidak sedar. Itu hakikat.

--

Sampai satu ketika
Kita sudah bosan dengan melakukan dosa
Letih melakukan murka
Lalu tenang mula menyapa
Ah! Bahagia

--

Bercerita bukan untuk membangga
Tak pernah
Moga selamanya tak pernah
Dan terlindung dari dosa bongkak durja
Moga selamanya

--


Monday, April 14, 2014

Cuba

Fikiranku sedikit terganggu
Mohon Allah bagi mudah

--

Hujung minggu yang sangat indah. Lagi indah sebab dapat kek moist choc dengan cheese yang sedap sangat. Terima kasih pada Ummi sekeluarga kerana sudi menerima kami bertandang di rumah di Semanggol. Dan kami sempat menziarahi sahabat baik Fatimah dan sahabat baik aku di Ipoh. Oh! Indahnya pertemuan itu.

Walaupun perjalanan pulang sedikit lambat berikutan jalan jammed di Tapah, moment bersama Fatimah untuk bercerita begitu indah.:)

--

Adik lelaki aku. Anak ke 10. Dia mengkhabarkan sesuatu yang sangat indah pada aku. Alhamdulillah. Moga Allah beri mudah. Dan dia minta aku bagi pencerahan kepada emak tentang situasi itu. Tunggu aku balik kampung hujung minggu ni. Sebab bercakap melalui telefon tidaklah feel ku kira. Moga jalan yang dia pilih diredhai Allah.

Dan tadi, dia sms yang dia on the way menaiki bus menuju JB untuk 10 hari. Ada rezeki dia teringin pergi hingga 40 hari.

--

Indah. Cuba menjadikan itu indah walaupun aku gundah. Ye. Cuba.

Thursday, April 10, 2014

Mullbery dan air

Hari ini berjumpa dia. Lain benar sikap dia bila aku berjumpa dengan dia jika nak dibandingkan apa yang diceritakan oleh mereka. Bengis, garang, cengil. Tapi bukan itu bila dia dihadapku. Dia gelak. Dia senyum. Dia ketawa walau tidak berdekah.

Sepanjang perjalanan, aku berzikir Ya Latif. Ya 'Aziz. Sampai di pejabat itu, bila berhadapan dengan dia aku menghembus tanpa disedari sesiapa. Alhamdulillah. Ianya berhasil. Ada seseorang pernah mengajar aku bagaimana melembutkan hati manusia agar tidak marah. Allah yang bagi lembut hati.

Lagi satu--

Tadi berbincangan dengan dia. Oh! fikiranku seperti di awangan rasanya. Betapa! Serasa dia dekat tapi jauh. Dia jauh tapi dekat.

Aku ini memang kuat berkhayal. Itu kenyataan. Hehe

Lagi satu lagi --

Ahad pagi lepas pukul 7 pagi adalah waktu penerbangan dari KK ke KL. Sampai di KL dalam pukul 9 lebih. Dan sampai di kampung hampir pukul 3. Namun hampa, rumah berkunci emak pergi kenduri tanpa meninggalkan kunci. Lalu aku menghampiri pokok mullbery yang emak tanam dan berbuah dengan lebat setelah dicantas dahannya. Manis rupanya buah ini walaupun kecil je saiznya.

Malam itu, menonton rancangan di TV yang bercerita tentang pencarian jodoh. Bahawasanya yang kita kena mencari jodoh yang baik-baik dan soleh. Tiba-tiba emak kata:

"Ha! dengar tu. Cari jodoh yang soleh dan baik-baik"

Aku berazam untuk menjadi solehah dan baik-baik.

Lagi lagi satu --

Rumah sewa dicatu air. Sama juga dengan office. Office dan rumah sewa adalah sama seksyen di Shah Alam ini. Dan tandas di office juga di kunci oleh pihak pengurusan. Apakah??

Aku balik puncak alam. Aku punya pilihan untuk mencari air lain kalau nak bandingkan dengan rakan serumah yang tiada tempat lain.

Letih sedikit mengulang jauh dengan kereta. Terasa laju benar meter minyak turun.

Akhirnya--

Sabtu ni, berjalan untuk satu misi penting. ngeh ngeh ngeh.

--
sambutlah tangan ku kawan
aku takut tenggelam
sambutlah tangan ku kawan
jurangnya sangat dalam

Wednesday, April 9, 2014

Sabah

Hujung minggu yang lalu yang sangat indah perjalanannya. Alhamdulillah. 3 hari 3 malam dengan bintang. 
Berada di Sabah melihat keindahan ciptaan Tuhan. 
Sabah best! Sangat best. Nak pergi lagiiiiiiiiiii






Monday, March 31, 2014

WHEN

WHEN YOU SAID YOUR LAST GOODBYE
I DIED A LITTLE BIT INSIDE
I LAY IN TEARS IN BED ALL NIGHT
ALONE WITHOUT YOU BY MY SIDE

Friday, March 28, 2014

Pesona

Hati semakin terpesona
Melihat indahnya didepan mata
Nyamannya pemandangan itu
Hampir terduduk sebab suka
Melihat dia bak bulan purnama

Alangkah
Jika aku menjadi pendamping dia

Alangkah
Jika dia sentiasa bersama

Apakan
Dia lebih arif merencana

Apakan
Ada lagi yang lebih mempersona

Nyaman dan tenang
Melihat tanpa bertentang
Cukup hanya sembunyi pandangan
Kelak akan menjadi igauan

Iya! Kita harus menunduk pandangan
Moga terlawan hasutan syaitan

Cumanya
Cukup aku dia mengenali
Walau bertemu jarang sekali

Monday, March 24, 2014

hujung minggu

SPM baru diumumkan minggu lepas. Dua hari sebelum keputusan diumumkan, seorang pelajar aku menghubungi aku menyatakan tentang betapa tidak tenang nya hati dia dan kecelaruan perasaan yang dialami dia. Aku berkata pada dia, apa pun keputusan nanti sila terima dengan hati yang terbuka sebab dia sudah pun berusaha. Aku berdoa agar dengan keputusan mereka itu akan mendekatkan lagi diri mereka dengan Tuhan.

Alhamdulillah. Dua dari tiga orang pelajar tuisyen aku mendapat A dalam subjek Akaun. Manakala seorang lagi dapat B. Berbeza dengan subjek ekonomi. Dua orang yang tadi dapat B dan lagi seorang tu dapat C. Sepanjang setahun aku mengajar mereka bertiga, aku tidak menekankan subjek ekonomi dan terlalu taksub untuk mengajar akaun.

Apapun, segala puji bagi Allah. Sebab rahmat dan kasih sayangnya aku mendapat bahagia sebegini.

--

Sabtu yang lepas, aku menghadiri jemputan perkahwinan anak kepada seorang klien. Oleh kerana aku ada jemputan untuk majlis aqiqah anak perempuan kawan aku di rumah mertuanya di Sabak Bernam, aku pergi ke kenduri kahwin anak klien di puncak alam sedikit awal. Namun tak awal sangat la. Tapi berpeluang melihat kedua mempelai.

Semasa perjalanan ke sabak bernam, ada sebiji batu yang menghentam cermin hadapan kereta. Lalu dengan hentaman tersebut menghasilkan retak yang sedikit disamping meretakkan hati aku.

Masa kat rumah, aku tanya abang aku. Dia kata kena tukar cermin sebab nanti retak tersebut akan membesar dan berbahaya untuk pemandu. Dalam kiraan RM500 juga la untuk mengganti cermin tersebut.

Abang ipar aku kata, itu adalah perkara biasa bila mempunyai kereta,. Cermin pecah, tayar pancit, badan bercalar. Nasib baik juga aku tak mentinted kan cermin lagi, kalau tidak pasti rugi.

Dan aku merasakan separuh dari mood teruja berjumpa dengan kawan aku dan anak dia yang menetap di JB hilang begitu sahaja disebabkan insiden tersebut.

--

Hari ahad pula aku ada empat jemputan kenduri. Lalu aku membuat keputusan pergi yang jauh dulu iaitu di Paya Jaras. Merupakan kenduri kahwin kakak senior masa di sekolah dulu. Seorang kakak yang baik. Serius! Aku sayang sangat dengan dia. Dia terlalu baik. Dia anugerah terindah sepanjang persekolahan aku. Oleh kerana dia tak sempat beri kad jemputan kepada aku, aku menanya alamat pada seorang lagi kakak senior. Dalam mencari rumah pengantin, aku terjumpa satu gerai jual coconut shake yang teramat lah sedap.

Masa sampai dirumahnya, dia belum lagi bersiap sebab sangat awal aku datang. Dalam pukul 10 pagi. Tetamu pun tak ramai.. Dan paling aku tidak sangka, dia menangis bila melihat aku. Dia kata, dia sangat terharu yang aku akan datang. MasyaAllah! Mana mungkin aku melepaskan peluang untuk menghadiri hari istimewa dia.

Dan kemudiannya kami bertolak balik ke kampung sambil menikmati coconut shake yang sedap gila.

--

Pagi tadi aku menghantar seorang staff ke KLIA kerana dia perlu ke sarawak atas urusan kerja. Pukul  5 pagi aku bertolak dari rumah sewa. Mengantuk ya amat dalam perjalanan pulang sebab aku bersendirian. Aku tertidur ketika traffic light merah di simpang empat stadium. Dan aku sedar dengan bunyi hon yang bertalu-talu. Malu sangat. Terus membuntang biji mata. Sampai di office sebelum 7 pagi lalu menyambung tidur di bilik bos yang amat selesa. Mengantuk sungguh ni. huhu

Wednesday, March 19, 2014

Nikmat

Sebenarnya bukan aku tak mahu menyuruh dia apa-apa. Cuma tika perlukan bantuan antara 3 orang pelajar praktikal itu, yang seorang lagi lebih layak. Selain dia tak pernah menolak, dia berkereta. Minggu yang lalu, jerebu yang agak teruk melanda shah alam. Hinggakan mencapai bacaan indeks pencemaran udara yang tidak sihat. Berkereta adalah kurang risiko menghidu udara yang tidak sihat tersebut berbanding dia yang bermotor. Tambahan pula seorang lagi yang merupakan pelajar perempuan tidak mahir lagi selok belok jalan di shah alam.

Kali kedua, ketika itu cuaca adalah hujan. 

Dan sebab lain juga, dia adalah lelaki. Aku jarang bercakap-cakap atau bercerita dengan pekerja lelaki selain hal kerja, apa lagi dengan pelajar latihan industri. Jadi, aku tidak bercakap dengan dia sebab tiada urusan kerja yang perlu dibincangkan. 

Lagi pula, aku memang tidak boleh meminta dia buat kerja kan. Semua kerja dia adalah dari arahan Audit Senior I.

Walaupun dia lantang bila bersuara dan gemar menjawab balik, dia pantas juga dalam buat kerja. Itu apa yang aku nampak la. 

--

Aku ada seorang housemate yang bila memasak membuat rasa lapar sangat-sangat dan tak sabar nak makan. Dia paling tua dikalangan kami. Dan dia masak, serius sedap. Allah yang bagi sedap. 

Satu hari aku puasa. Aku balik awal. Keluar dari office mengikut waktunya. Walaupun lewat sedikit tak setepat yang sepatutnya iaitu 5.30 petang, tapi ku kira awal juga lah. Sebab, bila aku keluar dari office aku masih boleh nampak matahari.

Aku singgah di Hero Seksyen 13. Oh, aku dah lama tak pergi tesco. Walaupun tesco hanya bersebelahan dengan office, aku kira aku perlu untuk tidak menyokong produk israel kerna aku punya pilihan lain yang lebih banyak. Giant bukan pilihan yang bijak pada masa itu. Sebab ketika itu aku berpuasa, letih juga di penghujung waktu dan giant terlalu banyak pilihan yang membuat aku akan lari dari perbelanjaan awal. Hehe

Aku teringin nak makan ikan kembung masak pindang sebenarnya. Dengan harapan bila aku sampai rumah nanti, aku akan masak lauk tersebut yang dihiasi dengan sambal kicap. Mahal juga ikan sekarang. Haih

Sampai di rumah, aku buka pintu sahaja terbau suatu aroma yang sangat indah. Whoa!

Akak yang aku cerita tadi tengah memasak 2 lauk. Dan satu lauk sudah siap. Alhamdulillah. Alangkah beruntungnya dapat housemate yang akan memasak bila kita balik dari kerja. Hehe. Teringat masa 3 tahun duduk dengan kakak, kebahagiaan itu sentiasa hadir. 

Sampai sekarang, ikan kembung tu hanya disiang tanpa dimasak dan dibiarkan dalam peti. 

Aku hanya memasak di waktu pagi sahaja. Dan tika itu, hanya beberapa yang mana waktu pejabat dia agak lewat berbanding yang lain. Jadi hanya mereka bertiga sahaja yang aku jamu di waktu pagi. 

Masak dirumah menjimatkan tau. Dikala kos sara hidup yang meningkat. Harga ikan juga meningkat. Masak dirumah dna membawa bekal adalah idea terbaik. Walaupun, kadang-kadang aku terlebih garam dalam masakan.

Dan minggu ni aku hanya membawa nasi dengan lauk lebihan akak tu masak atau pun buat roti john yang baru first time buat atau murtabak megi yang tak berapa nak jadi seperti yang telah dipinta oleh sahabat sepejabat. Hari yang berlainan ye. Dan juga buah. Sekarang ni dah mula memperbanyakkan beli buah. 

Ada sesiapa yang mahu bagi resepi cucur cendawan?

--

Selepas aku balik dari sarawak tempoh hari, aku teringin nak makan ikan keli. Lalu aku beli ikan tersebut yang telah siap disiang di pasar Tanjong Karang. Sebelum balik Shah alam, aku singgah di rumah kakak di Puncak Alam untuk mengirim pesanan makanan dari emak dan juga buah tangan dari Sarawak. Malangnya, bila hendak balik ke Shah Alam pagi isnin, ikan keli tersebut tertinggal dalam peti ais dia. Aku pesan pada dia, masak la ikan tu. Nanti aku beli lain. Ikan keli masih lagi murah berbanding ikan lain. 

Dan jumaat yang seterusnya, aku balik rumah dia sebab nak melawat kawan aku yang sudah 3 bulan melahirkan baby perempuan yang berjiran dengan kakak aku. Malangnya, aku tidak sempat nak menziarahi dia sebab aku sampai rumah kakak pun dah malam. Tak elok pula melawat baby waktu malam. Esok pagi sabtu, kakak kena hadir kesekolah untuk persiapan menyambut kedatangan pegawai dari PPD. 

Lalu aku pun memasak ikan keli tersebut pada pagi itu. Masak tumis jawa. Dengan bumbu yang dah tersiap di blender oleh kakak dalam peti ais menjadikan kerja memasak menjadi sangat mudah dan cepat. 

Sangat rindu nak makan ikan keli. Terharu sangat sebab berpeluang makan ikan keli yang aku beli sebab kakak kata dia pun tak sempat nak guna ikan keli aku itu. Anak-anak buah berselera sekali menikmati ikan keli tumis di kala pukul 9 pagi. 

Tengah hari, aku gerak balik kampung sebab ada jemputan kenduri. Dan lauk yang dihidangkan juga adalah ikan keli. Esoknya, ahad tengah hari emak juga masak ikan keli tumis. MasyaAllah! Emak punya masakan berganda lebih sedap. Alhamdulillah. 

Punyalah aku menunggu 2 minggu di sarawak untuk makan ikan keli, lalu Allah beri aku makan ikan keli 2 hari berturut-turut. Alhamdulillah

--

Kadang kan, kita terlalu menghitung nikmat yang nampak besar dimata tanpa sedar yang nikmat yang nampak biasa dimata kita adalah sesuatu yang sangat-sangat membahagiakan.

Monday, March 17, 2014

Pelbagai

Ada satu ingin sebelum jumpa dia dan mereka. Azam yang besar. Alahai. Moga-moga dapat tertunai. Mudahkan Ya Allah.

--

Aku telah suarakan satu ingin ku pada mereka dalam perbincangan itu. Nampaknya hanya seorang yang menyokong dan mensetujui. Malah ingin membantu pula. Alhamdulillah. Yang lain? Hmm--

"Kau cakap senang la weh"
"Kau biar betul. Tak kan terus je macam tu"
"Hati orang ni lain-lain. Kau tak nak kenal dulu?"

Aku hanya percaya pada Tuhanku. Apapun ketentuan yang berlaku selepas itu, Dia hanya beri yang terbaik untuk aku. Be positive bebeh.

--

Aku tak percaya pada konspirasi mahupun spekulasi. Beri bukti lalu aku akan cuba mempercayai jika ianya benar dengan logika akal. 

Nampaknya rakyat makin tidak sabar hingga wujud bermacam andaian dan fitnah kerna tiada jawapan dari pihak berwajib. Aku tiada ditempat mereka. Aku tidak tahu andaian apa yang bakal membenak difikiran jika ada antara mereka yang aku kenal. Namun, aku tetap meminta agar mereka yang terlibat diberi sabar yang tinggi, diberi mudah semudah mudahnya. Semua kena minta pada Allah. Walau apa rancangan jahat mereka sekalipun, Dia telah mengizinkan itu berlaku. Dan setiap sesuatu. Tiada akan berlaku jika Allah tak beri izin. Lalu mintalah pada Dia, agar dimudahkan usaha mencari dan menemukan jalan penyelesaian yang semakin menyesak fikiran untuk menemuinya. Moga Allah beri mudah.

Teringat tahun 2012, aku pergi Beijing. Masa penerbangan yang sama iaitu 12.30 malam. Dan dijangka tiba di Airport Beijing pada masa lebih kurang 6 pagi. Menaiki MAS, tapi tak ingat adakah menggunakan pesawat yang sama. Tapi seingat aku adalah kapten yang sama.

--

Aku sedang menonton tv sambil baring sebelah emak. Dan di tv tersebut, terkeluarlah ayat dari seorang penceramah yang hebat:

"Bila kita dapat pandang muka emak ayah kita, dapat pahala. Apa lagi menyentuhnya dan menciumi nya."

Beruntungnya aku. Alhamdulillah

--

Lepas pergi walimah sahabat, kami melawat seorang sahabat yang baru 10 hari melahirkan anak perempuan. Oleh kerana aku duduk berhampiran emak dia, emak dia bersembang dengan aku.

"Dulu, masa dia mula kahwin, makcik ni macam tak redha. Awal sangat dia kahwin. Habis belajar umur 23. Tak sampai setahun kerja dah kahwin. Cepat sangat dia kahwin. Makcik tak puas. Sampai sekarang pun, makcik belum dapat nak redha sepenuhnya"

Aku hanya mampu-- owh..ermm...ok..sambil menganggukkan kepala berkali kali.

Mungkin tika ini emak belum lagi redha dengan aku sepenuhnya. Belum lagi puas bersama dengan aku. Aku hanya enjoy the moment. Walaupun aku ni bukan anak kegemaran emak, tapi aku dapat perhatikan anak-anak perempuan kegemaran emak lambat sedikit berbanding dengan yang lain. Semua anak kegemaran emak. Tapi dalam banyak-banyak pasti ada yang lebih digemari. Ke andaian aku sahaja. Yang rupanya aku ini pun anak kegemaran emak. Hehe

--

Aku pernah berkata dengan kakak.

"Bulan ni aku mula bayar hutang. Macam terasa juga duit dekat RM500 tolak kat bank"

Lalu dia berkata:

"Biasalah tu. Bila kita dapat sesuatu, kita akan kehilangan sesuatu. Adil la kan namanya."

Aku terdiam--
Banyak lagi syukur ku yang perlu dihitung.
Alhamdulillah

--

Satu hari, aku ditegur oleh majikanku. Teguran bagi ku amat menyayat hati aku. Puncanya adalah aku menyuruh seorang pelajar latihan industri membuat kerja secretary aku. Dan dia tidak dapat menerima arahan aku. Alasannya, dalam mesyuarat tempoh hari, dia tidak diminta membuat seperti yang diarahkan oleh aku.

Lalu, dengan lantangnya dia pergi berjumpa dengan majikan dan meluah ketidakpuashatiannya pada majikan. Lalu, majikan memberitahu segala kerja yang perlu dibuat oleh pelajar latihan industri hanyalah dari Audit Senior I. Atau maksud lainnya, aku tak boleh beri arahan kepada mereka untuk membuat sesuatu kerja tanpa merujuk kepada Audit Senior I tersebut. Apakah?

Mulanya aku memang sedih. Menangis semahu aku dalam kereta sebelum menaiki rumah. Aku merasakan majikan ku dah tak perlukan aku lagi. Atau ayat lainnya, sudah tidak sayang pada aku.

Kemudiannya, aku baru tersedar. Ini bukan teguran dari majikanku. Tapi teguran dari Allah. Mungkin aku perlu memperbaiki skil komunikasi aku. Menjadi lebih lemah lembut mungkin. Aku mudah sentap, semudah aku menangis.

Sejak itu, aku tidak pernah menyuruh pelajar tersebut berbuat apa-apa. Jika perlu  menghantar atau mengambil dokumen klien, aku meminta seorang lagi.

Dia terlalu lantang bila bersuara tanpa memikir akibat perbuatannya. Aku tidak menyampah dengan dia. Cumanya aku tiada hati untuk meminta pertolongan dia berbuat sesuatu.

Mungkin dia perasan yang aku jarang bercakap dengan dia. Satu hari, dia seolah ingin bercakap dengan aku lalu bertanyakan soalan akaun yang bagi aku dia dah tahu jawapannya. Dan dia cuba berbual dengan aku.

Dik, lantang itu perlu. Tapi, terlalu itu tak perlu. 

Tuesday, March 4, 2014

Meminta

Belajar untuk menuju ke arah sempurna. Jangan berhenti berharap. Jangan. Jangan sesekali. Sekali lagi, jangan. Berharap untuk menjadi lebih sempurna. Belajar untuk berharap menjadi lebih sempurna.

Dan lagi satu, sentiasa bersangka baik dengan Allah. Sentiasa. Ingat ye, sentiasa. Allah tak pernah mengecewakan. Tak pernah.

Dulu, aku pernah berdoa untuk Allah beri aku tangisan. Dikala aku mula menyedari yang aku sudah lama tak menangis. Banyak tawa dan gelak dari tangisan. Seingat ku, tangisan paling sendu dan paling bersungguh yang terakhir dihujung tahun 2012. Sungguh! lama dan sangat sendu.

Dan, Allah sudah beri aku tangisan yang sendu itu sekali lagi. Menggogoi bagai anak kecil yang kehilangan ibu. Aku menggogoi kerana kehilangan kasih dan perhatian Dia. Sedu kerana seolah aku mengharap adanya Dia tika itu. Syahdu sungguh kerana aku benar-benar mengharapkan Dia. Ya! Dia sebenarnya sentiasa ada. Cuma dosa yang terpalit memudarkan rasa adanya Dia.

Aku minta tangisan ketakutan, dan Dia sudah beri. Alhamdulillah. Ujian itu sebenarnya nikmat. Kerna adanya ujian itu, maka kemudiannya akan hadirlah semula rasa bertuhan. Hadirlah rasa takut kerana dosa. Oh! alangkah indahnya ujian itu.

Aku minta agar amaun itu tidak diminta lagi atau dikembalikan semula. Dia sudah beri. Amaun itu tidak diminta lagi. Dan mungkin akan dikembalikan lagi.

Aku minta agar dihilangkan keruh dan dijernihkan semula. Dilembutkan hati dan dipulihkan rasa. Ya! Dia sudah beri apa yang aku mahu.

Aku minta agar andai adanya dia untuk aku, maka pautkan hatiku dengan dia. Jika tidak, jauhkan hati dan fikiran aku dari terus melayang. Ya! Dia beri aku tenang hati dari runsing terlalu memikirkan siapa dia. Jika ada, adalah untuknya. Jika tiada, tidak mengapa.

Aku dapat apa yang aku minta. Alhamdulillah. Minta ketika airmata masih membasahi pipi. Lalu, apa lagi yang aku dustakan?

Setiap ujian dan nikmat adalah kasih sayang dari Allah. Bagaimana kita melaluinya dan menerimanya sangat penting. Sentiasa bersangka baik dengan Dia. Sentiasa yakin, hilangnya sesuatu kerana ada hikmah. Hadirnya seseorang ada kebaikannya.

Aku berdoa, aku tidak pernah akan untuk berhenti menjadi sempurna. Aku berdoa agar, diambil nyawaku tika Dia benar-benar redha terhadap aku dan apa adanya aku.

******

Sigek. Kamek. Sitok. Kita. Sinun. Sik. Celorot. Pau Butter.

Moga jadi kenangan dan peringatan sentiasa.