Wednesday, October 29, 2014

kerja

Aku tahu mungkin ada yang tak tahu tentang kerja aku. Ada yang tak nak tahu pun. (pasrah!)

Bidang kerja aku ni tak lah susah. Duduk hadap komputer  dalm bilik yang mempunyai penghawa dingin. Dilengkapi dengan meja yang boleh tahan besar. L shape. Senang letak file atau dokumen. Senang nak ambil. Masuk kerja pukul 9 pagi dan boleh balik ke rumah pukul 6 petang. Ditambah lagi dengan waktu rehat dari pukul 1 hingga 2 petang. Tetapi kalau hari jumaat ia akan menjadi seawal 12.30 hingga 2.30 petang.

Peraturan firma tidak lah begitu ketat. Zuhur memang dalam waktu rehat. Bahkan, para pekerja juga dibenarkan solat asar seawal waktu. Tinggal lagi pekerja itu mahu mengerjakan asar awal atau lewat. Boleh minum-minum sambil bekerja. Boleh ke tandas tanpa mengira waktu. Tidak perlu datang kerja pada hari sabtu. Apa lagi hari ahad. Dengan cuti tahunan yang lebih kurang sama dengan syarikat lain. Cumanya boleh dibawa kehadapan cuti tahunan yang tidak habis digunakan. Tapinya, terhad kepada 5 hari sahaja. Lebih indah lagi, apabila cuti umum jatuh pada hari sabtu, ianya akan ditambah pada cuti tahunan.

Nampak macam bahagia dan seronoknya! Alhamdulillah. Ada yang kerja lebih teruk lagi dari aku.

Aku tak merungut. Apa lagi untuk tidak bersyukur. Cumanya aku mahu memberitahu, aku mengalami tekanan perasaan apabila aku diasak dan dipaksa. Secara jujur, aku sukar menerima paksaan yang diselangi dengan sinisan kata. Aku mahu menangis. Dan rasa menyampah boleh menyelebungi aku terhadap individu tersebut.

Ini lebih kepada klien. Kebelakangan ini, list of job planning aku sangat lah panjang. Tak habis pun seharian bekerja. Dan kebelakangan ini juga, ramai klien aku mendesak untuk aku menyiapkan dan menyediakan dokumen yang diminta mereka. Dengan segera. Nak cepat. Nak sekarang. Sebilangan besar klien aku merasakan yang aku hanya mempunyai seorang sahaja klien. Iaitu dia. Jadi, dia beranggapan dokumen yang mereka minta boleh dapat ketika itu juga. Hampeh!!

Belum lagi kerja-kerja segera yang diminta oleh bos.

Oh! Aku nak kahwin. Tak mahu kerja dah.

Apapun, aku bersyukur. Orang-orang macam itu lah yang membuat aku lagi kuat. Lebih sabar. Dan lebih mempunyai tenang.

Hakikatnya, waktu kerja aku adalah dari 8pagi hingga 10.45 malam. Itu yang paling lama. Kebiasaannya 8 malam atau 9 malam baru memandu pulang ke rumah. Dan tidur.

Sebenarnya, kerja aku ni bahagia je. Tak la sukar mana pun. Cumanya bila ada individu yang kelam kabut je buat aku rasa tidak tenteram.

Ok, bye

Go Block

1- Aku tidak faham. Dan tidak mahu faham. Sila jelaskan.

2- Jangan mendesak aku. Beri sabar sedikit pada diri kau. Tak selamanya kau perlu menangkan diri kau sahaja.

3- Aku tiada. Aku tak punya. Sesak dan lemas sedikit buat masa ini. Sila faham. Dan ringankan kepala aku. Terima kasih.

4- Jangan gopoh. Jangan kibut. Aku rimas. Aku rasa nak hempas. Sebab yang penat nanti adalah kau. Dan yang lagi penatnya adalah aku.

5- Aku minta maaf. Banyak yang aku lupa. Memang salah aku. Tapi, kata-kata kau begitu sinis. Sedikit rasa terhiris.

Wednesday, October 15, 2014

kadang

Kadang permintaannya tidak masuk akal
Kadang juga seolah tak matang
Dan terkadang kedengaran tamak

Ingat
Kita ada Tuhan yang melihat
Jangan terlalu taksub dan haloba
Rezeki Tuhan dikongsi bersama
Yakin dengan rezeki kurniaan Nya

Tuesday, October 14, 2014

Kau ajar

Sekali seolah dipertikai kesungguhan aku, semacam angin ribut menerbangkan segala semangat.
Aku manusia. Dan terutama aku wanita. Sedih sedikit seolah kau tidak peduli, sedang aku menggunung duli. Bukan sedikit. Banyak juga.

Tiada ikhlas dalm bicara aku. Aku tahu kau sedar. Aku tahu kau merasakan.

Kau ajar aku menjadi kuat. Kau ajar aku jangan batak dengan pujian. Kau ajar aku menjadi lebih selamba. Tidak mudah ambil hati, Tidak mudah peduli.

Terima kasih.

Friday, October 10, 2014

Gerhana yang direncana

Gerhana bulan. Baca satu entry di blog kak dee. Aku membayangkan dikala bulan itu terbelah dua, hanya sebahagian yang tampak bercahaya. Manakala sebahagian lagi tiada apa-apa. Memang terbelah. Terpegunnya.

Hanya Allah yang berkuasa menjadikan semua itu. Dari sekecil-kecil kejadian, hinggalah sebesar-besar kejadian. Bahkan yang menggerakkan tiap satunya di dunia ini adalah Allah. Makhluk tiada kuasa. Allah yang berkuasa.

Tiada kebetulan dalam dunia ini. Semua Allah yang merancang dan menjadikannya ia berlaku. Tiada nasib baik atau buruk melainkan Allah yang mengizinkan.

Jadinya, jangan mengeluh. Berhenti merungut. Bilamana kita mula bersyukur, kita akan berhenti merungut. Teruskan berdoa. Biasanya yang datang kemudian itu yang terbaik.



Tuesday, October 7, 2014

Cerita Raya Haji

Salam Aidiladha. Moga Allah menerima amalan dan pengorbanan, saya, anda dan mereka.

Minggu sebelum raya haji, mak disahkan kena denggi. Emak seorang yang jarang sakit. Demam sekali sekala. Mungkin sebab title emak itu sendiri yang penuh kasih, Allah tak izinkan sakit. Sebab emak yang kena jaga anak-anak dan mengasuh anak-anak.

Denggi kali ini, emak sangat lemah. Terbaring lesu. Dan setiap hari kena ambil darah untuk diuji kandungan platlet dan kepekatan darahnya. Aku sendiri berkejar dari tanjong karang ke shah alam. Beberapa hari ambil halfday untuk hantar emak ke hospital. Memandangkan, abang sulung yang tinggal dengan emak juga demam bersama anaknya.

Sayu hati juga melihat emak terbaring tidak bermaya. Makan pun tak berselera. Sampai lah ke hari raya, emak masih lemah tidak berdaya. Kami adik beradik, berkumpul solat hajat untuk emak. Menu kebiasaan semasa hari raya diambil alih oleh kami yang perempuan. Adik beradik perempuanku 7 orang termasuk aku sendiri. Ditambah lagi 2 orang kak ipar.

Yang memasaknya adalah aku. Ehm. Ehm. Cuak sedikit untuk memasak untuk semua. Kalau setakat masak untuk adik-adik aku, boleh tahan lagi. Ni untuk abang-abang, kakak-kakak dan ipar-ipar. Aku sedar dan tahu, yang beri sedap adalah Allah. Namun, aku gentar jika Allah tak bagi sedap pada masakan aku. Ada 2 menu kegemaran kami, sambal taun taucu dan sambal kacang ayam. Sambal kacang ayam, aku pernah masak sebelum ni. Sambal kacang sahaja, selalu sangat dah. Sebab emak buat bisness sate kecil-kecilan, dari kecil sudah diajar cara memasak sambal kacang Cumanya kalau tambah ayam, bumbu harus lebih.

Masa masak sambal kacang ayam, emak kata serai 10 batang. Tapi, kak ipar aku hiris 2 ikat serai yang berjumlah hampir 20 batang. Aku masukkan semua. Walaupun aku rasa macam serai tu terasa sangat, tapi yang lain semua kata hampir menyamai emak punya. Weehhuu. Alhamdulillah.

Yang kedua, masak sambal taun taucu. Tak pernah lagi dalam adik beradik aku masak sambal taun taucu.  Termasuk lah aku. Tak konfiden. Dah tanya kat emak, cara-cara masak sambal taun. Tapi, bila masuk dapur aku confused mana satu kena masukkan dulu. Nak tanya banyak kali, emak pun macam tak larat nak cakap. Aku masukkan semua bawang, lengkuas dan cili. Aku ingat-ingat lupa apa yang emak cakap. Tapi, sepatutnya cili masukkan kemudian. Oleh sebab masukkan awal-awal, cili dah pecah lalu sambal taun yang aku buat pedas gila. Ok, just nice la rasanya. Mereka kata 90% menyamai emak. Fuhhh.

Penat juga memasak ni. Memasak dalam kuantiti yang banyak. Sambal kacang seperiuk besar. 2 ekor ayam. Sambal taun pula sebelanga besar. 5kg kerang, 2 ekor ayam pencen dan 3kg ceker. Alhamdulillah. Adik beradik yang lain berkerjasama sediakan bahan-bahan memasak. Aku hanya memasak.

Wednesday, October 1, 2014

pilihan

Satu saat. Aku diuji dengan pilihan yang sangat menyakitkan. Untuk aku mengambil keduanya, aku tidak mampu dan tiada daya. Untuk ambil satu, aku mahu juga yang kedua. Dan aku terpaksa menyakiti hatiku sendiri untuk memilih salah satunya. Dan terpaksa melupakan yang lagi satunya.

Aku tahu aku akan menyesal. Tapi tidak mengapa. Aku biarkan yang satunya pergi saja.
Pergi.