Wednesday, December 24, 2014

7 hari sebelum 2015

2014 yang hampir meninggalkan
moga masih diberi kesempatan
untuk menggarap redha Tuhan
untuk meminta keampunan
untuk menjadi sebaik insan

*****

Banyak yang berlaku pada tahun ini. Setiap satu kenangan yang sukar dilupakan. Dan akhir-akhir ini yang menyesakkan jiwa dan perasaan. Terkilan kerana seolah dicampak tepi. Tidak dinilai kebaikan yang pernah diberi. Betul. Insan memang selalu menyakitkan dan melupakan. Tetapi aku dihukum seorang diri sedang salah itu disebabkan oleh orang-orang lain juga. Apakah?



Friday, December 5, 2014

Gagal

Kegagalan dan manusia itu adalah sinonim. Begitu juga kegagalan dan kemenangan. Tak selamanya kita gagal. Tak selamanya kita menang. Hidup ini umpama roda. Adakala kita lah yang paling gah dan paling disanjung. Namun ada ketika kita dicampak tepi dan tidak dinampakkan kewujudan. Ketika itu kita rasa terbuang dan gagal. Namun, sebenarnya dalam kegagalan itu kita boleh mencipta sesuatu yang lebih indah dan berguna untuk kita masa akan datang.


1. Gagal dalam peperiksaan

Bila seorang pelajar gagal dalam peperiksaan, pasti akan mula risau dan sedih. Tertanya-tanya apakah hukuman yang aah dan ibu akan beri kerana tidak lulus periksa akhir tahun. Ke sekolah manakah akan dituju jika gagal mendapat 5A dalam UPSR. Kos apakah yang mungkin akan diberi jika PMR hanya cukup-cukup makan. Apakah nasib masa depan yang baru nak dilangkau jika keputusan SPM yang sangat mengerikan. Kos apakah yang akan dicampak jika keputusan matrikulasi tidak mencapai agregat yang perlu dicapai jika mahukan kos yang diidamkan. Apakah mampu memegang segulung ijazah jika peperiksaan semester gagal. Tetapi, kejayaan yang warna berterbangan itu tak menjamin 100% seseorang itu mendapat pekerjaan yang banyak gajinya, senang hatinya, bahagia jiwanya. Sentiasa bangun untuk capai kemenangan andai sudah terjatuh gagal. Ketenangan hati bukan terletak pada cemerlangnya keputusan peperiksaan.

2. Gagal dalam perhubungan

Ramai yang mengatakan bila penceraian itu berlaku bermaksud siduda dan sijanda telah gagal dalam perhubungan. Dan ianya akan satu calitan gelaran yang sangat menyedihkan. Duda dan janda! Terasa dihina sungguh. Terasa gelap segalanya. Dunia tidak lagi bermakna. Hanya tangisan dan sesalan yang menyelubungi. Walaupun penceraian itu menyakitkan hati-hati manusia, namun Allah takkan mencipta perbuatan "cerai" itu dengan sia-sia. Pasti ada kelebihan tersendiri. Mungkin dengan berpisah itu, hati pasangan itu lebih dekat dengan Allah. Hidup lebih bermakna. Tiada lagi sebalan dalam hati yang melemaskan. Lebih matang dalam perhubungan yang seterusnya. Mendidik hati untuk lebih menghargai apa didepan mata. Malah mungkin ada 1001 lagi hikmah atau lebih dari itu yang kita tak pernah terfikir akan itu. Percayalah, Allah Maha Adil. Dia takkan membiarkan kita dalam kegagalan sentiasa.

3.Gagal dalam dakwah

Kegagalan dakwah bukanlah terletak sedikitnya yang mengikut dakwah kita. Bukan. Tetapi kegagalan dakwah apabila si pendakwah itu tidak beramal dengan apa yang didakwahkan. Itulah kegagalan yang paling besar. Nabi-nabi terdahulu berdakawah bertahun-tahun, tetapi hanya beberapa puluh sahaja yang mengikut dakwah mereka. Adakah gagal namanya? Nabi Muhammad berdakwah berbelas tahun, tetapi yang mengikutnya hanya berbelas sahaja. Adakah gagal dakwah nabi Muhammah? Bukan. Tidak sama sekali. Itulah namanya kemenangan. Nabi-nabi tersebut beramaldengan apa yang mereka dakwahkan. Bukan kata-kata dan omongan kosong. Bukan cakap tak serupa bikin. Maksudnya kat sini, kita kena sedar yang kita berdakwah kepada orang lain adalah sebenarnya, kita berdakwah dengan diri sendiri dulu. Allah juga ada menyebut: Menagapa kau bercakap tentang apa yang kau tak lakukan?

Kesimpulannya, jika kita merasakan kita gagal, bangunlah untuk capai kemenangan, berjalanlah menuju apa yang kita inginkan. Dan berlarilah menggapai redha Allah. Setiap kegagalan yang kita terima, sentiasa bersangka baik dengan Allah. Allah yang mengaturkan mengapa gagal itu yang kita rasa. Jadi, seharusnya ada sesuatu yang manis akankita peroleh dengan kegagalan itu.

Tuesday, December 2, 2014

Marah

Setiap manusia ada, pernah malah sentiasa melakukan kesilapan. Jika manusia melakukan kesilapan kepada manusia yang lain, perlu dan wajib meminta maaf. Manakala jika manusia melakukan kesilapan kepada Allah yang Esa, perlu dan wajib meminta ampun.

Maaf dan ampun dua perkataan yang berbeza, namun ianya memberi maksud yang sama. Meminta maaf tandanya kita menyesali silap kita terhadap seseorang. Menyesali keterlanjuran atau keceluparan mulut kita yang menyakitkan hati seseorang itu. Kadang, kita ini bercakap sesedap mulut, marah juga sesedap hati untuk dilontarkan.

Bila marah itu sudah reda, kita rasa bodoh sangat. Bodoh kerana menengking-nengking, bercakap kesat, meninggikan suara, mengungkit cerita lama. Malah kita juga rasa bodoh kerana mencampak barangan berharga hingga pecah berkecai, membuang di longkang, malah memijak-mijak dan memunahkan barang tersebut.

Kalaulah kita boleh bersabar sedikit dengan menahan marah itu, pasti tiada hati yang terluka remuk, pasti tiada kerugian yang ditanggung. Namun perbuatan-perbuatan bodoh yang dilakukan ketika marah itu adalah satu kepuasan maksimum. Tetapi, ketika hanya marah sahaja. Bila hati mula reda, menyesal itu timbul. Namun ketika itu semuanya sudah terlambat.

Nabi juga pernah bagitahu pada sahabat, orang yang paling kuat adalah orang yang berjaya menahan marah ketika dia berhak untuk marah. Dan itu adalah semulia-mulia kekuatan yang perlu ada. Maksud disitu, orang kuat yang dimaksudkan nabi itu adalah orang yang punya sabar yang tinggi. Selain dia adalah seorang yang mempunyai maaf yang sangat tinggi juga. Dia berjaya menenteramkan dan menenangkan malah juga mendamaikan permusuhan yang baru hendak dinyalakan oleh syaitan.

Dan orang tersebut akan mendapat nikmat ketenangan dan ketenteraman yang amat luar biasa anugerah dari Tuhan. Berapa ramai manusia yang tumpas dengan nafsu amarah dia hingga ianya memakan diri sendiri. Hilang tenang, hilang tenteram, hilang kawan, hilang saudara malah hilang yang dia sayang.

Kena dengan marah bos adalah perkara biasa bagi mereka yang bukan bos. Bos yang bijak adalah bos yang tak menengking-nengking mahupun menjengilkan mata atau menunjalkan kepala staff A dihadapan staff B mahupun staff C. Tetapi bos yang kacak, handsome dan budiman adalah bos yang menegur secara berhikmah dan berlemah lembut tapi masih dalam nada tegas kepada staff A yang melakukan kesilapan yang besar. Jika kesilapan kecil, dia hanya menegur dalam nada bersahaja tanpa ada yang terluka.

Marah seperti itu akan membuat staff lebih menghormati dan menyayangi bos yang kacak, handsome dan budiman itu.

Sama juga seperti ayah. Ayah yang handsome, kacak dan soleh akan mengurangkan penggunaan rotan dari menggunakan mulut. Namun mulut yang dimaksudkan ialah mulut yang menegur secara lemah lembut.

Kita juga lebih selesa jika dimarah dengan lembut dan tegas berbanding dirotan dan dihumban dengan kata-kata yang menyakitkan. Mana ada orang yang suka diherdik dan dicaci. Kekerasan bukanlah caranya. Kelembutan juga yang akan menang.

Mari kita mencuba menahan marah. Menahan marah yang membabi buta. Dan cuba semai sifat memaafkan untuk setiap insan yang melakukan kesilapan kepada kita.

Tetapi, jangan pula hilangkan marah tika melihat maksiat dan dosa. Marah lah dosa yang dibuat. Bukan marah pada pendosa itu.