Monday, December 21, 2015

Aku sudah berhenti berharap

Dalam banyak-banyak harapan aku. Aku masih berharap pada Dia. Dan untuk kau tahu, aku sudah berhenti berharap hampir setiap harap yang pernah aku lakarkan diminda. Aku sendiri bukan bererti aku memencilkan diri. Aku sendiri sebab aku tahu aku bukan bersendiri. Aku sendiri sebab aku sedang mencari makna dan ilusi. Untuk aku lihat lakaran sedikit dan sebahagian harapan. Hanya aku yang melihatnya. Kau mungkin nampak aku beza. Hakikatnya aku masih sama. Perbezaan harapan yang kau inginkan masih begitu. Tak berubah. Kalau benar mahu aku, kalau ikhlas niat kamu pasti kau akan terima apa adanya aku. Dan pasti aku akan persembahkan hadiah istimewa untuk kamu.

Jangan ditanya lagi lontaran soalan itu. Pengajuan kamu hanya membuat aku rasa kamu sama seperti mereka. Kau buat keyakinan diri aku punah. Aku terasa lalang yang tumbuh ditepi pokok jati. Dipijak orang untuk mendapatkan jati itu. Lalu aku hilang dan punah. Kalaulah kau mengerti, bahawa lalang itu adalah jati yang baru mahu membesar. Cuma lambat sedikit dari orang lain. Tapi ia akan membesar menjadi sesuatu yang indah.

Jangan datang lagi dekat dengan aku. Kerana kamu tahu siapa kamu. Kamu tahu siapa aku. Sedang aku hanya tahu siapa aku, tanpa aku tahu siapa kamu. Dan persoalan itu dulunya membelenggu. Dan sekarang aku sudak alih ke tepi. Belenggu itu tidak lagi merencatkan diri aku. Biarlah belenggu itu ditepi dahulu. Sampai satu masa pasti ada pisau yang akan meleraikannya. Kalau bukan pisau setidaknya ada api yang membakarnya. Langsung tiada tanda.




Tuesday, December 1, 2015

Bapak

Seorang bapa beriringan dengan anak lelaki dia ke kedai makan. Aku kira umur budak lelaki tu dalam 10 tahun. Lalu, semasa dah nak sampai ke meja makan, si bapa membelai rambut anak lelaki dia. Dan reaksi si anak selepas itu, betulkan semula kedudukan rambutnya yang mungkin sedikit kusut. Aku hanya memandang adegan tersebut.

“Untung kau dik, ada lagi bapak yang boleh belai kepala kau”


Thursday, November 19, 2015

solat

Kenapa dulu kau bukan main gelabah bila masuk saja waktu solat. Sampaikan kalau kat jalan tercari-cari dimana tempat boleh solat bila masuk saja waktu solat. Sampaikan kau tak peduli pun kalau kau terlambat pergi tempat lain. Dan kau tak peduli pun penat macam mana dan tak sabar mana untuk kau sampai destinasi. Asalkan solat dulu.

Tapi sekarang? Kau leka je aku tengok.

perhubungan

Perhubungan ini seperti diuji
Ada banyak benda yang aku seolah sakitnya tuh disini
Tapi aku cuba pendam dan kawal diri

Tuesday, September 29, 2015

Berkorban dan terkorban

Dekat 2 minggu bos berada ditanah suci. Dekat 2 minggu juga aku dan kawan-kawan sekerja berdikari untuk menyelesaikan semua tugasan yang sentiasa ada. Cerita raya haji yang rare bagi aku tahun ini. Banyak benda yang terjadi.

Selasa malam rabu tu, dalam pukul 12 malam, makcik aku telefon dari tg karang. Anak dia eksiden. On the way dari melaka sebab belajar kat sana dari pukul 4 ptg, tetapi sesat punya pasal tu yang pukul 12 pun masih kat shah alam. Naik motor langgar tiang. Dia kata kat shah alam tapi dia sendiri tak tahu celah mana. Dia tahan orang nak minta tolong sebab motor dia tak leh gerak tapi malangnya tiada seorang pun yang berhenti.. Mungkin orang ramai curiga dengan banyak kes yang berlaku bila dirompak oleh orang yang ditolong. Aku suruh dia share location, rupanya di sekyen 7. Masa aku sampai sana rim motor dia sudah berubah bentuk menjadi bentuk luv. Aku pun balik bawa dia ke rumah makcik aku yang jarak hanya 15 minit dari rumah emak. Esok pagi kena pergi kerja sebab staff ramai yang cuti jadi aku kena cover office.

Malam raya, jalan jem. Sampai aku terlelap lalu melanggar belakang kereta kancil dan menghasilkan tujahan ke arah citra yang berada di depan kancil. Terus segar bugar aku jadinya. BMM kemek depan, kancil tu depan dan belakang. Tapi citra tu tak ada apa-apa. Mamat kancil ni nak balik manjung dengan adik dia. First time BMM eksiden dengan kereta lain. Melayang juga la beberapa rat repair BMM dengan kancil tu. Aku settle semua sendiri malas nak nyusahkan dan bagi risau adik beradik lain. Tapi yang aku tak puas hati, lusanya yang call aku bagitau berapa yang aku bayar untuk kancil tu bukan la mamat tu. Tapi bapak dia. Aku bukan tak puas hati sebab aku kena bayar kat kancil tapi aku tak puas hati sebab mamat kancil tu tak cukup jantan sehingga bapak dia yang call aku. Bukan budak lagi mamat tu, dah kerja kot. Aku rasa umur dalam 23-25 tahun. Kalau dia tu perempuan aku ok kot kalau dia wakilkan bapak dia call aku. Kemon! Aku sendiri tak melibatkan pihak ketiga, tapi kau pula libatkan orang lain. Jadinya memang bapak dia je la yang settle dengan aku. Untunglah kau ada lagi bapak mamat kancil....

Hari khamis, emak buatkan korban untuk aku dan adik aku. Terharu dengan emak. Aku bagitau emak tahun ni aku macam tak ada budget nak buat korban, tapi tak sangka emak buatkan. Emak kata, ni pun duit kau juga yang kau bagi tiap-tiap bulan emak. Rasa disayangi sangat. Oh! Aku tak nak pergi surau untuk tengok korban sebenarnya sebab aku segan dan aku tak sanggup nak tengok. Tapi emak suruh juga sebab disunatkan tengok binatang yang dikorban. Aku pergi sekejap je tengok lembu aku dikorbankan. Boleh tahan garang lembu tu. Aku tak tengok lama, nanti aku juga yang rugi sebab tak boleh makan daging kurban tu.

Jumaat tu aku kerja tahu. Sunyi semacam je office. Kerja berdua je. Yang lain cuti. Tak pe lah, diorang kampung jauh.

Semalam anak buah aku yang ke 25 lahir. Perempuan. Alhamdulillah. Anak buah perempuan yang ke 7. Tasyabar tunggu kakak aku balik pantang kat rumah emak dari JB.

Pagi tadi sebelum pergi kerja aku buat cucur cendawan. Kalaulah dia tahu yang aku sangat mengingati dia sejak akhir-akhir ini. Huhu

Friday, September 11, 2015

Merindukan

Tersiat hati ini bila mengenangkan engkau yang jauh dimata. Dengan pesawat apa pun aku tak dapat lagi menggapai tanganmu. Menggenggam erat dan mengucup tanganmu. Dengan kejuruteraan apa pun aku tak dapat lagi memandang wajahmu secara langsung. Sakitnya rasa itu. Engkau yang takkan pernah kembali untuk aku sentuh jemari mu. 

Namun ketahuilah walau aku sendiri keliru adakah kau dapat mengetahuinya atau tidak, kau akan sentiasa dalam bayangku. Kau ada dalam tubuhku. Memandang diriku di cerminan aku lihat bayangan mu. Kau yang sentiasa ada di satu tempat istimewa di satu bahagian dari jiwa dan kenanganku.

Ya Allah, angkatkan siksa kubur abah. Ampunkan dosa abah. Berikan aku kesempatan yang tidak terjangkau untuk aku menatap lagi wajah suci emak dan kewujudanku yang sentiasa menggembirakan emak.

Wednesday, September 2, 2015

Cakap tak serupa bikin

Selalu sangat antara kita ini bercakap tak serupa bikin. Dan cabaran utama dalam diri kita dalam mendekatkan diri dengan Allah adalah sejauh mana untuk kita tidak bercakap tidak serupa bikin.

Sebagai contoh:

Baru siang tu kau cerita dengan orang kelebihan tahajud. Kau bagitahu dia yang naif tu yang tahajud ni nanti akan menjadi tunggangan kau ketika melintas titian sirot dan kau cuba menyuruh dia buat tahajud sebab nanti akan berlaku perkara luar biasa dalam kehidupan dia. Luar biasa tu terlalu subjektif. Jangan disempitkan. Mungkin dia akan rasa segala urusan dia dipermudahkan tanpa kesulitan. Apa yang dia hajati dicapai. Dan kau menambah lagi, lepas tahajud kalau sempat buatlah solat taubat dan solat hajat. Buat 2 rakaat je mula-mula dah cukup. Tak ada doa yang specific. Kau suruh la dia doa apa-apa je yang dia tahu. Kemudian, dia tanya kau macam mana niat dan macam mana nak kerjakan solat tahajud tersebut. Lalu kau pun terangkan dan sempat bergurau: Tahajud tau. jangan terkejut je lebih pastu sambung tidur

Dan, malam tu juga Allah kejutkan kau untuk tahajud dan kau terbangun di tengah malam. Kau tengok jam di telefon bimbit kau. Lalu kau tidur balik dan melupakan apa yang telah kau ajar dan nasihat dia siang tadi. Huh!! Cakap tak serupa bikin.

Dan sebenarnya banyak lagi yang tak serupa bikinnya. Nak jadi baik memang senang, tapi nak kekalkan dan tambahkan kebaikan dalam diri kita sangat susah tau. Mohonlah agar Allah beri istiqamah dalam diri kita

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa engkau bercakap perkara yang kau tak lakukan??"

Tuesday, September 1, 2015

Akan ku

Akan aku sentiasa merindui mu
Dalam jauh atau dekatnya jasad kita

Akan aku telan kata-kata mu
Dalam sinis atau ketidaksengajaan mu dalam bicara

Akan ku tatap wajah mu
Dalam nyata atau bayangan sahaja

Akan ku cuba mencari sisi baik mu
Dalam teruja atau bencinya aku pada tertentunya masa

Akan ku cuba gelak tawa dengan mu
Dalam menarik atau tidak jadinya kamu dalam lawak jenaka

Akan ku cuba pintal kenangan dengan mu
Dalam setiap apa terjadi antara kita yang tercipta

Akan ku cuba tepis perasaan ku pada mu
Dalam ketidaklayakanku untuk menjadikan kau teman ke syurga

#Semoga baik-baik sahaja wahai kamu.

Wednesday, August 5, 2015

Syawal 2015

Syawal semakin ke penghujung. Maafkan aku ya wahai kamu! kamu yang sedang membaca ini. Moga aku dan kamu dilindungi dan dirahmati Allah.

Syawal yang pertama tanpa mengucup tangan abah. Moga abah tenang di sana. Moga Allah terima semua amal baik abah dan ampunkan semua dosa dan kesalahan abah.

Syawal yang agak panjang cutiku. Sampai bosan pula duduk rumah. Rasa mahu balik shah alam dan kerja tapi malas nak drive sampai ke shah alam. Kesudahannya di kampung sampai 19hb. Aku saja yang cuti panjang sedang orang lain dah mula bekerja.

Aku sedang mengutip kenangan, untuk aku simpul dan aku simpan kemas dalam botol kaca. Lalu bila jumpa lautan akan aku balingkannya ke tengah lautan. Biar saja ianya teroleng-oleng di lautan itu. Aku mahu tahu ianya sudah disimpan dalam khazanah lautan dan tidak mahu ianya menerawang dibenakku.

Moga saja akan ada yang menemuinya tapi mendiamkan saja.

Dan aku juga sedang ingin berdamai dengan masa silamku. Agar ianya menjadi panduan di masa depanku. Ada yang pelru diperbetul, ada yang perlu dilupakan.

Monday, July 13, 2015

Ramadhan tahun ini

Ramadhan tahun ni sedikit sibuk berbanding tahun sudah. Namun aku harap Ramadhan ini adalah yang terbaik dari tahun-tahun sudah. Ramadhan tahun ini, selari dengan tarikh akhir untuk audit dan mengadakan AGM bagi client-client yang sedia ada. Lumrahnya, banyak kerja bertimbun disaat-saat akhir. Jadinya, ada hujung minggu yang perlu datang ke office. Dan kuranglah hari berbuka di kampung.

Ramadhan ini aku lebih kepada disediakan makanan buka dan sahur oleh orang lain. Tahun ni banyak dapat jemputan berbuka di luar serta berbuka di masjid. Kalau berbuka di rumah pun time tu balik lambat. Sampai rumah je, housemate dah siap masak segala.

Dan tahun ni, memang tak sempat nak buat kuih raya walaupun popiya cheese. Serius! tak sempat sangat-sangat. Biasanya buat hujung minggu tapi hujung minggu sangat penuh. Namun Alhamdulillah. Tahun ni, berduyun menerima kuih raya, kurma dan maruku dari mereka-mereka yang pemurah. Walaupun plan asal nak pergi beli kuih raya, tapi kat kedai tu kuih raya semua dah licin.

Banyak kejutan ramadhan kali ini. Moga ianya pemangkin semangat aku untuk terus berbakti dan diberkati. InsyaAllah.

Alhamdulillah. Syukur dengan nikmat Allah yang terlalu banyak untuk dihitung. Moga dengan nikmat ini akan bertambahlah iman dan ibadah aku kepada Nya serta makin dekatlah diriku dengan Dia.

Tuesday, June 23, 2015

kenapa aku menangis?

aku menangis
sebab kau desak
sebab kau memaksa
sebab kau entah apa-apa

Wednesday, June 10, 2015

Azam Ramadhan

"Azam Ramadhan saya adalah nak explore setiap masjid yang ada kat shah alam ni. Nak terawih di masjid-masjid shah alam"

--

"azam saya pula, saya nak temankan dia explore masjid-masjid di shah alam"

"Selain itu, saya juga berazam untuk pergi bazar pada ramadhan kali ni sekali saja..........."

"wah! bagus tu. Sebab bila kita pergi bazar banyak masa terbuang dan kadang-kadang membazir beli makanan banyak"

"betul-betul. Lebih baik gunakan masa tu untuk baca quran dan berzikir"

"err, maksud saya, pergi bazar sekali sahaja disetiap tempat"

Monday, May 25, 2015

Tanpa dirimu

Aku akan merinduimu
Sungguh!
Walau kau tiada didepanku
Sebentar atau selama mana pun
Aku akan setia disini wahai kamu
Setia menanti kepulanganmu

Moga kau baik-baik sahaja
Dimanapun keberadaanmu
Dengan siapa pun yang disisimu
Moga baik-baik sahaja dirimu
Moga diterima semua amalanmu

Aku harap juga begitu
Aku baik-baik sahaja disitu
Walau tanpa dirimu
Tenang dan tabah hadap semua liku
Sabar dan redha walau hati bergolak laju
Terima apa jua datang kepadaku
Walau tanpa dirimu
Tanpa dirimu


Sunday, May 24, 2015

Sairus salikin

Kitab sairus salikin. Perjalanan orang yang salik kepada Allah. Sekian lama cuba mencari. Alhamdulillah. Dapat juga. Tapi baru 2 jilid. Akan datang beli lg jilid yang 3 dan 4. Cuba fahami disebalik kitab ini. Moga ilmu yang diterima dapat diamalkan dan istiqamah.

Untuk kamu,kerana Allah.
InsyaAllah.




Tuesday, May 12, 2015

"dia"

Minggu ini saja aku dah abaikan "dia" sebanyak dua kali bila dipanggil. Itu baru minggu ni, minggu-minggu yang sebelum ini? Bila sedar, rasa rugi sangat-sangat. Menyesal. Dan bila dipanggil lagi, abaikan lagi. Entah apa-apa! Rindunya suasana itu sampai rasa nak menangis sekarang ini. Tak sabar nak tunggu malam!

Aku diterpa dengan satu ingatan dan kenangan. Kenangan yang pernah berlegar dalam fikiran. Bila ia mula menjerebu hingga menampakkan hanya kabur putih yang pedih, muncul sesuatu dan "seseorang" yang hampir menyamai bayangan itu bagai cahaya mentari yang menelan setiap kaburan itu dan membuat aku tersenyum semula. Moga "dia" baik-baik saja. 

Kerunsingan sedang melanda sebenarnya. Bila aku pujuk hati agar aku terus disini, mensetiakan jiwa untuk masih bersama disini, menenangkan hati bahawa duit bukan segalanya dan aku ada kenangan tersendiri disini, makin aku rasa "dia" membuat aku "sakitnya tuh disini". Panggilan seawal pagi yang menerbangkan rasa dan jiwa aku jauh ke Utopia tanpa menyinggah di Nicaragua atau Macedonia mahupun Guyana dan langsung hilang dari Malaysia. Apakah salah kau kepada aku hingga aku langsung tak mahu memandangmu walau namamu yang kerap muncul di kaca telefonku?




Friday, May 8, 2015

Tak nak cerita

Sebab tu tak nak cerita dengan kau. Sebab aku risau kalau kau fikir lain tentang dia. Walaupun terasa "sesuatu" bila tahu tentang itu, abaikan je lah. Dia juga manusia. Punya ingin dan mahu yang berbeda.

Kita perlu menjalankan tugas sahaja. Dengan amanah dan dedikasi. Biar dia dengan cara dia. Asalkan kita tidak diketepi atau dibiarkan saja.

Kita bukan perlukan sokongan. Kita perlukan iman!

Friday, April 17, 2015

Penat dan Sibuk

Penat dan sibuk macam mana pun kita, solat jangan lupa. Itu hak Allah, Dan jangan lupa juga hak sesama manusia. kerana hidup kita sentiasa dikelilingi manusia.

Kita rasa kita paling sibuk dan paling penat, tapi orang lain subuk dan penat juga walaupun tak sesibuk dan sepenat kita.

Jadi, jangan jadikan alasan kesibukan kita dan kepenatan kita untuk abaikan manusia sekeliling dan buat mereka terluka.

Kita sibuk dan penat, lalu kita tak ada daya untuk mengambil berat orang sekeliling. Sibuk macam mana pun kita, ada lagi yang lagi sibuk. Tapi mereka berjaya menambat hati orang sekeliling. Orang sekeliling sentiasa terasa disayangi dan diambil perhatian.

Kita perasan sibuk hingga kita lupa mensyurgakan diri kita sendiri. Berpenat dan bersibuklah untuk agama. Berpenat dan bersibuklah untuk mereka kesayangan kita.

Monday, April 13, 2015

Meniup semangat

Dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini aku punya mood untuk bekerja dah kelaut. Sangat lemau bila mahu bersiap di pagi hari untuk bekerja. Dan rekod kehadiran pagiku sepanjang April semuanya merah. Aku cuba untuk bersegera ke pejabat, tetapi hampa. Aku dengan malasnya menyiapkan diri untuk hadir ke pejabat.

Bila sudah terlalu lemau, aku akan mengirimkan kiriman mesej kepada bos, aku nak time off. Aku cuba untuk menenangkan diri bersendirian. Cuba untuk mendapatkan balik semangat bekerja. Aku ambil cuti seharian untuk menghiburkan hati ku dengan melihat wajah emak dan membawanya ketempat makan yang aku suka. Pergi atas bukit bersama emak lihat persisiran selat melaka. Malah aku cuba untuk meluaskan pemandangan aku dengan menonton matahari yang mahu terbenam di tepian pantai berseorangan. Dan terus menikmati hembusan bayu laut dikala malam. Ditemani saudara kandungku.

Dulu, bila sahabat selalu menyatakan perasaan "monday blues" aku sangat menyangkal. Aku tak pernah rasa "monday blues" yang mereka katakan itu. Sebab aku sangat seronok dengan kerja aku. Aku sangat tak sabar menunggu hari isnin bilamana ketika itu adalah hari jumaat diwaktu petang.

Kini, bukan sahaja "monday blues" sahaja yang aku rasa. Tetapi sepertinya "everyday is blues". Aku tidak teruja untuk ke tempat kerja. Dan aku tidak teruja untuk pulang ke rumah. Terasa semuanya membosankan. Aku lah tu yang bosan. Aku tidak buat kebiasaan aku. Aku dah lama tidak memasak. apa lagi membeli bahan-bahan runcit. Malah membakar kek juga sudah lama sangat aku tidak melakukannya. Padahal sebelum ni, aku akan membakar kek atau menyediakan apa-apa pencuci mulut dengan senang hatinya.

Dan tadi, bos panggil aku. Dia kata dia perhatikan kedatangan aku sangat teruk sejak kebelakangan ini. Padahal aku adalah HR Admin. Bagaimana aku nak menegur staff lain yang datang lewat kalau aku sendiri yang lewat. Kata bos. Aku hanya mampu menyengih menunjukkan yang aku akui kelewatan aku.

Namun dalam hati aku serasa mahu meluahkan bahawa aku sudah jemu dengan kerja aku ini. Aku jemu melayan permintaan client yang sangat membosankan. Client yang sama, tetapi suka mendesak dan merungut. Bukan sekali, tetapi berkali-kali. Client yang sama suka mengherdik dan menghamburkan rasa. Dan aku mendengar, kemudian aku bidas semula. Aku akan membidas kata-kata dia jika dia kata mahu cepat, tetapi dokumen tak boleh sampai cepat pada dia. Bukan sekali dia mahu cepat, setiap kali dokumen yang dia minta semuanya cepat. Minta hari ini, bagi hari ini. Apa kau ingat, kau seorang client aku? Bukan itu yang aku bidas dengan dia. Itu bidasan dalam hati.

"Kalau encik mahu cepat, encik boleh datang office saya untuk collect dokumen itu. Saya tidak boleh paksa runner saya untuk hantar kepada encik hari ini jika dia kata dia tidak sempat. Cumanya dia kata dia akan cuba untuk menghantarnya hari ini. Dia juga ada hantar dokumen lain untuk company lain."

Tetapi, dia tak mahu collect. Tetapi mahu cepat. Apakah??

Runner tu part time je dengan office aku. Tetapi santun budinya. Dia jarang mengecewakan. Sebab biasanya dia buat sehabis baik. Aku cuma pesan yang dokumen ini urgent. Dan aku tak mahu memaksa dia keterlaluan. Sebagaimana aku tak suka jika aku dipaksa keterlaluan.

Dan, bos mahu aku membuat ringkasan nama staff mengikut skala kehadiran di office. Nampaknya namaku yang tercorot. :(

Aku sedang mengutip semangat yang semakin hilang..........

Tuesday, March 24, 2015

Apa beza orang yang makan dengan tengok orang yang makan?

"Aku mengantuk sangat-sangat. Tak larat nak baca Surah Al-Mulk sebelum tidur"

"Kalau kau tahu dalam selimut ada ular, kau nak tidur tak?"

"Nak. Tapi tak payah pakai selimut"

"Nabi pernah kata, kubur itu gelap dan ada ular. Bacalah Al Mulk sebelum tidur"

"Ok. Kalau aku dengar je bacaan Al Mulk ni boleh ke?"

"Apa beza orang yang makan dengan tengok orang yang makan?"

--

Sangat berbeza. Orang yang makan dia merasai kelazatan makanan itu. Dia sendiri menikmati khasiat yang terkandung dalam makanan itu. Dia sendiri merasai kepuasan menikmati makanan itu. Malah dia sendiri yang akan kenyang asbab makanan itu.

Bagaimana pula dengan tengok orang yang makan?
Hanya tengok. Membayangkan sahaja kesedapan dan kelazatan makanan itu. Tidak merasai malah tidak menikmati kepuasan dan khasiat makanan itu. Malahan lagi dia tidak merasai kenyang bahkan merasa semakin lapar pula.

Itu bezanya orang yang baca quran dan orang yang mendengar bacaan quran.

--

"Kalau kau yakin dalam selimut ada ular, mampus kau tak tidur dalam selimut tu.
Kau tidur dalam selimut ada ular senduk, dan kau boleh tanya aku apa nak buat?!!"

Wednesday, March 18, 2015

Abah

Abah,
Lebih sebulan abah pergi
Lebih sebulan aku sendiri
Lebih sebulan aku menangis lagi
Lebih sebulan hidupku sepi

Abah,
Apa agaknya disana khabarmu
Apa agaknya layanan malaikat  terhadapmu
Apa agaknya santunan bumi terhadapmu

Abah,
Aku selalu mendoakan kau tenang disana
Tapi laku ku kadang tak semena
Lalai ku sering menerpa
Lagakku kadang tersasar merata

Abah,
Belum puas rasanya aku bersama
Mungkin kau juga merasa begitu agaknya
Waktu kita bersama jarang rasanya
Aku terlalu sibuk dengan kerjaya
Terlalu sibuk dengan kehidupan dunia
Bila kau sudah pergi baru aku meratap hiba

Abah,
Ada orang yang buat aku sakit
Sakitnya menyentap pembuluh darahku hingga perit
Sakitnya serasa inginku menjerit
Sakitnya sebab dia pergi tanpa pamit

Abah,
Itu saja aku nak cerita
Moga kau baik-baik saja disana
Moga Allah ampun segala dosa
Moga kuburanmu menjadi taman-taman syurga
Moga kau selalu berharap aku akan temu bahagia

Monday, March 16, 2015

Hampir dekat

Aku terasa yang aku makin dimudahkan untuk menjumpai dia. Satu-satu petunjuk Allah bagi. Satu-satu Allah mudahkan jalan ke arahnya. Dan ianya dari orang sekelilingku sendiri. Yang aku berjumpanya hampir setiap hari. Terasa dia semakin dekat walaupun jauh. Hampir dekat.
Alhamdulillah. Moga Allah masih akan menunjukkan aku jalan kearahnya. Aminn...

Friday, March 13, 2015

Kehidupan

Hidup ini indah untuk dinikmati. Jangan bersedih. Teruskan kehidupan dengan penuh usaha untuk mendapat redha Allah. Jangan berhenti bersabar. Jangan berhenti berharap. Jangan berhenti berlari. Jangan berhenti mempelajari. Jangan berhenti mencintai.

Bersabar. Semua orang boleh cakap dan boleh suruh sabar. Tapi, siapa yang menanggung nya? Kadang boleh dibuat hilang sabar. Sebab itu Allah datangkan seseorang supaya menegur tentang sabar. Walaupun dia datang hanya sekejap. Sangka baik dengan semua. Paling penting, sangka baik dengan Allah. Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solah.

Berharap. Manusia selalu mengharap sesuatu yang tak pasti. Itulah istimewanya manusia. Tak salah nak berangan. Berangan lah. Kerana berangan itu percuma. Tapi kenalah seiring dengan usaha. Berangan dan berharap tanpa berusaha itu sawan namanya. Tapi, kita perlulah mengharap yang tinggi pada Allah. Kerana yang namanya manusia itu selalu mengecewakan.

Berlari. Selagi ada daya dan mahu pergilah 'berlari'. Berlari untuk menggapai redha Allah. Berlari untuk jalan dakwah. Pergi berlari bersungguh untuk mendapat apa ingin kita. Tapi pastikan larian itu haruslah didalam landasan agama. Cuba untuk tidak sesekali tergelincir dimana-mana sempadan. Andai sudah terlanjur, sedarlah cepat-cepat. Adapun perasaan itu adalah diluar kawalan seseorang. Kita sendiri lah yang kena bijak mengawal perasaan sambil 'berlari'.

Mempelajari. Sampai ke hujung nyawa, proses pembelajaran itu tak pernah berhenti. Tak pernah. Berusaha untuk mempelajari ilmu agama. Kadangkala kita rasa kita dah cukup tahu, rupanya apapun kita tak tahu. Banyak lagi yang belum tahu. Kadang, buat tak tahu. Bila belajar melulu tanpa hingga sesat bahaya akan menimpa. Kita rasa kita baik, soleh dan betul. Tapi rupanya sesat lagi menyesatkan. Tapi bila ada orang datang pada kita nak pelajari sesuatu, jangan berlari dan menghilang pula. Penat pula dia mengejar. Ajarlah dia dalam keadaan halal dan suci. Itu lebih baik.

Mencintai. Tak salah untuk mencintai. Tapi ianya mesti seiring dengan redha Ilahi. Cintailah saudara kita seperti mencintai diri sendiri. Cintai ibu bapa sepenuh hati. Berilah bahagia pada mereka. Cuba untuk mengorbankan perasaan demi bahagia mereka. Bersyukur kerna masih punya mereka dalam hidup kita. Cuba. Perlu cuba. Dan juga mencintai orang lain. Harus berpada. Jangan melebihi kecintaan kita kepada Allah dan rasul. Itu meroyan namanya.

Andai kita dah berusaha bermacam-macam, tapi masih tidak terima apa yang kita inginkan, bersabarlah. Moga-moga Allah akan melimpahkan belasnya dan mendatangkan kepada kita 'bahagia' yang sebenar. Kita akan terima apa yang akan menyebabkan kita bahagia. Dengan apa cara sekalipun. Dengan sesiapun yang akan datang kepada kita. Yakin. Itu perlu. Walau siapa pun dia, apapun dia, bagaimana pun dia, berapa pun dia, kalau Allah bagi izin untuk bahagia, kita akan bahagia dengan apanya dia. Tolong jangan pertikaikan siapa dia. Kecik hati dia.

Bilamana kita sudah penat berlari, jangan penat untuk bersabar. Pelajari setiap apa yang kita terima. Dan cintailah apa yang kita ada sekarang. Dan berharaplah selagi nyawa masih dikandung badan. Allah takkan sia-sia kan kita. Dia akan sentiasa mendorong kita kearah kebaikan. Kita hanya perlukan iman untuk meniti jalan tersebut. Bukan sokongan. Iman kita lah yang akan menentukan syurga atau nerakanya kita.

Tapi, jangan pula sibuk berhajat sampai lupa bertaubat.

Tuesday, March 3, 2015

Kehadapan Abah

Aku cuba untuk mengutip setiap kenangan yang abah tinggalkan. Di tepian pantai kenangan. Dalam setiap pukulan ombak sayang. Setiapnya aku mengingati abah. Aku cuba melihat jauh di hamparan lautan itu agar dapat ku bayangkan setiap inci wajah abah. Dan senduku bersama angin bayu yang datang menerpa.

Untuk tahun-tahun yang lalu bersama abah, terlalu banyaknya kenangan dan jasa. Setiap renungan dan ciuman yang abah berikan. Untuk setiap pukulan dan marah sayang yang abah lontarkan. Untuk setiap duit yang abah hulurkan tika aku meminta. Mana mungkin bisa aku lupa. Sakit dalam dada ini sangat menghiris dan menikam. Menusuk di setiap pembuluh darah.

Bilamana rindu itu menjelma, kemana harusku hamburkannya. Abah sudah tiada untuk aku menatap wajahnya. Abah sudah tiada untuk ku cium tangan kasarnya. Abah sudah tiada untuk aku usap bahunya. Abah sudah tiada untuk aku belikan sarapan untuknya. Abah sudah tiada untuk ku beri kain pelikat dihari raya. Abah sudah tiada untuk aku mendengar suaranya. Abah sudah tiada untuk dia menanyakan bila pernikahan aku agaknya. Abah sudah tiada untuk ku melihat keterujaan dia setiap kali menaiki keretaku. Abah sudah tiada untuk aku belikan keinginannya. Abah sudah tiada untuk aku buatkan kuih raya untuknya. Abah sudah tiada. Tiada. Tiada.

Abah, kali terakhir aku melihat abah dalam kain putih, luluh jantung aku. Ketika aku tiba di rumah, abah dalam perjalanan dari hospital. Anak, menantu dan cucu lelaki abah yang mandikan abah di hospital. Anak-anak perempuan abah menunggu abah dirumah. Serasa macam tak percaya yang rumah kita dipenuhi orang ramai. Sangat ramai abah. Walaupun anak lelaki abah seorang lagi tak dapat mandikan abah, dia sempat mandikan abah masa abah masih ada. Dua hari sebelum abah tiada. Untungnya abang. 

Abah, yang imamkan sembahyang jenazah untuk abah adalah anak lelaki abah. Anak lelaki yang abah tunggu-tunggu kelahirannya. Anak lelaki abah yang lahir selepas aku. Tetapi dia tidak dapat untuk mengetuai doa selepas solat itu. Cucu lelaki abah yang doakan. Abah, terima kasih atas pengorbanan untuk anak-anak abah. Moga-moga abah tersenyum melihat ini semua.

Tidak lama abah pergi, emak bermimpi. Abah bawa emak naik motor besar menuju ke satu rumah yang besar. Didalamnya dipenuhi dengan tetamu yang memakai baju putih. Dengan bangganya abah memperkenalkan kepada semua bahawa emak adalah isterinya. Dan abah mengatakan yang ini hanyalah rumah sewa dia. Emak kata abah seperti dizaman mudanya. Kacak dan putih bersih mukanya.

Abah, aku doakan Allah akan ampunkan segala dosa-dosa mu. Dan aku berharap agar abah sudahpun memaafkan aku dan anak-anak abah yang lain. Aku juga berdoa agar Allah mengangkat siksa kubur abah dan menjadikan kuburan abah sebagai taman-taman syurga dan bukannya lubang-lubang neraka.


Wednesday, February 11, 2015

Abah pergi selamanya

Abah dah pergi buat selamanya. Pagi isnin 09.02.2015. Emosi aku kurang stabil sekarang ni. Aku doakan agar kuburan abah menjadi taman-taman syurga buat dia. Aku doa juga abah akan diangkat siksa kubur dia. Dan juga berharap yang dosa-dosa abah akan diampunkan.

Maafkan aku abah Aku belum sempat untuk jadi anak yang solehah untuk abah. Penyejuk mata abah. Penyeri hidup abah. Aku banyak buat salah. Moga abah tenang disana. Moga Allah izinkan kita bertemu dan bersatu kembali di syurga selamanya.

Aku berharap sebelum abah menghembus nafas yang terakhir, abah sudah terlebih dahulu memaafkan semua salah aku sejak aku di perut emak hinggalah akhir hayat aku nanti.

Apapun, aku akan cuba untuk istiqamah mendoakan kesejahteraan abah disana. Aku sayangkan abah. Sayang sangat. Sayang kerana Allah.