Tuesday, March 24, 2015

Apa beza orang yang makan dengan tengok orang yang makan?

"Aku mengantuk sangat-sangat. Tak larat nak baca Surah Al-Mulk sebelum tidur"

"Kalau kau tahu dalam selimut ada ular, kau nak tidur tak?"

"Nak. Tapi tak payah pakai selimut"

"Nabi pernah kata, kubur itu gelap dan ada ular. Bacalah Al Mulk sebelum tidur"

"Ok. Kalau aku dengar je bacaan Al Mulk ni boleh ke?"

"Apa beza orang yang makan dengan tengok orang yang makan?"

--

Sangat berbeza. Orang yang makan dia merasai kelazatan makanan itu. Dia sendiri menikmati khasiat yang terkandung dalam makanan itu. Dia sendiri merasai kepuasan menikmati makanan itu. Malah dia sendiri yang akan kenyang asbab makanan itu.

Bagaimana pula dengan tengok orang yang makan?
Hanya tengok. Membayangkan sahaja kesedapan dan kelazatan makanan itu. Tidak merasai malah tidak menikmati kepuasan dan khasiat makanan itu. Malahan lagi dia tidak merasai kenyang bahkan merasa semakin lapar pula.

Itu bezanya orang yang baca quran dan orang yang mendengar bacaan quran.

--

"Kalau kau yakin dalam selimut ada ular, mampus kau tak tidur dalam selimut tu.
Kau tidur dalam selimut ada ular senduk, dan kau boleh tanya aku apa nak buat?!!"

Wednesday, March 18, 2015

Abah

Abah,
Lebih sebulan abah pergi
Lebih sebulan aku sendiri
Lebih sebulan aku menangis lagi
Lebih sebulan hidupku sepi

Abah,
Apa agaknya disana khabarmu
Apa agaknya layanan malaikat  terhadapmu
Apa agaknya santunan bumi terhadapmu

Abah,
Aku selalu mendoakan kau tenang disana
Tapi laku ku kadang tak semena
Lalai ku sering menerpa
Lagakku kadang tersasar merata

Abah,
Belum puas rasanya aku bersama
Mungkin kau juga merasa begitu agaknya
Waktu kita bersama jarang rasanya
Aku terlalu sibuk dengan kerjaya
Terlalu sibuk dengan kehidupan dunia
Bila kau sudah pergi baru aku meratap hiba

Abah,
Ada orang yang buat aku sakit
Sakitnya menyentap pembuluh darahku hingga perit
Sakitnya serasa inginku menjerit
Sakitnya sebab dia pergi tanpa pamit

Abah,
Itu saja aku nak cerita
Moga kau baik-baik saja disana
Moga Allah ampun segala dosa
Moga kuburanmu menjadi taman-taman syurga
Moga kau selalu berharap aku akan temu bahagia

Monday, March 16, 2015

Hampir dekat

Aku terasa yang aku makin dimudahkan untuk menjumpai dia. Satu-satu petunjuk Allah bagi. Satu-satu Allah mudahkan jalan ke arahnya. Dan ianya dari orang sekelilingku sendiri. Yang aku berjumpanya hampir setiap hari. Terasa dia semakin dekat walaupun jauh. Hampir dekat.
Alhamdulillah. Moga Allah masih akan menunjukkan aku jalan kearahnya. Aminn...

Friday, March 13, 2015

Kehidupan

Hidup ini indah untuk dinikmati. Jangan bersedih. Teruskan kehidupan dengan penuh usaha untuk mendapat redha Allah. Jangan berhenti bersabar. Jangan berhenti berharap. Jangan berhenti berlari. Jangan berhenti mempelajari. Jangan berhenti mencintai.

Bersabar. Semua orang boleh cakap dan boleh suruh sabar. Tapi, siapa yang menanggung nya? Kadang boleh dibuat hilang sabar. Sebab itu Allah datangkan seseorang supaya menegur tentang sabar. Walaupun dia datang hanya sekejap. Sangka baik dengan semua. Paling penting, sangka baik dengan Allah. Dan mintalah pertolongan dengan sabar dan solah.

Berharap. Manusia selalu mengharap sesuatu yang tak pasti. Itulah istimewanya manusia. Tak salah nak berangan. Berangan lah. Kerana berangan itu percuma. Tapi kenalah seiring dengan usaha. Berangan dan berharap tanpa berusaha itu sawan namanya. Tapi, kita perlulah mengharap yang tinggi pada Allah. Kerana yang namanya manusia itu selalu mengecewakan.

Berlari. Selagi ada daya dan mahu pergilah 'berlari'. Berlari untuk menggapai redha Allah. Berlari untuk jalan dakwah. Pergi berlari bersungguh untuk mendapat apa ingin kita. Tapi pastikan larian itu haruslah didalam landasan agama. Cuba untuk tidak sesekali tergelincir dimana-mana sempadan. Andai sudah terlanjur, sedarlah cepat-cepat. Adapun perasaan itu adalah diluar kawalan seseorang. Kita sendiri lah yang kena bijak mengawal perasaan sambil 'berlari'.

Mempelajari. Sampai ke hujung nyawa, proses pembelajaran itu tak pernah berhenti. Tak pernah. Berusaha untuk mempelajari ilmu agama. Kadangkala kita rasa kita dah cukup tahu, rupanya apapun kita tak tahu. Banyak lagi yang belum tahu. Kadang, buat tak tahu. Bila belajar melulu tanpa hingga sesat bahaya akan menimpa. Kita rasa kita baik, soleh dan betul. Tapi rupanya sesat lagi menyesatkan. Tapi bila ada orang datang pada kita nak pelajari sesuatu, jangan berlari dan menghilang pula. Penat pula dia mengejar. Ajarlah dia dalam keadaan halal dan suci. Itu lebih baik.

Mencintai. Tak salah untuk mencintai. Tapi ianya mesti seiring dengan redha Ilahi. Cintailah saudara kita seperti mencintai diri sendiri. Cintai ibu bapa sepenuh hati. Berilah bahagia pada mereka. Cuba untuk mengorbankan perasaan demi bahagia mereka. Bersyukur kerna masih punya mereka dalam hidup kita. Cuba. Perlu cuba. Dan juga mencintai orang lain. Harus berpada. Jangan melebihi kecintaan kita kepada Allah dan rasul. Itu meroyan namanya.

Andai kita dah berusaha bermacam-macam, tapi masih tidak terima apa yang kita inginkan, bersabarlah. Moga-moga Allah akan melimpahkan belasnya dan mendatangkan kepada kita 'bahagia' yang sebenar. Kita akan terima apa yang akan menyebabkan kita bahagia. Dengan apa cara sekalipun. Dengan sesiapun yang akan datang kepada kita. Yakin. Itu perlu. Walau siapa pun dia, apapun dia, bagaimana pun dia, berapa pun dia, kalau Allah bagi izin untuk bahagia, kita akan bahagia dengan apanya dia. Tolong jangan pertikaikan siapa dia. Kecik hati dia.

Bilamana kita sudah penat berlari, jangan penat untuk bersabar. Pelajari setiap apa yang kita terima. Dan cintailah apa yang kita ada sekarang. Dan berharaplah selagi nyawa masih dikandung badan. Allah takkan sia-sia kan kita. Dia akan sentiasa mendorong kita kearah kebaikan. Kita hanya perlukan iman untuk meniti jalan tersebut. Bukan sokongan. Iman kita lah yang akan menentukan syurga atau nerakanya kita.

Tapi, jangan pula sibuk berhajat sampai lupa bertaubat.

Tuesday, March 3, 2015

Kehadapan Abah

Aku cuba untuk mengutip setiap kenangan yang abah tinggalkan. Di tepian pantai kenangan. Dalam setiap pukulan ombak sayang. Setiapnya aku mengingati abah. Aku cuba melihat jauh di hamparan lautan itu agar dapat ku bayangkan setiap inci wajah abah. Dan senduku bersama angin bayu yang datang menerpa.

Untuk tahun-tahun yang lalu bersama abah, terlalu banyaknya kenangan dan jasa. Setiap renungan dan ciuman yang abah berikan. Untuk setiap pukulan dan marah sayang yang abah lontarkan. Untuk setiap duit yang abah hulurkan tika aku meminta. Mana mungkin bisa aku lupa. Sakit dalam dada ini sangat menghiris dan menikam. Menusuk di setiap pembuluh darah.

Bilamana rindu itu menjelma, kemana harusku hamburkannya. Abah sudah tiada untuk aku menatap wajahnya. Abah sudah tiada untuk ku cium tangan kasarnya. Abah sudah tiada untuk aku usap bahunya. Abah sudah tiada untuk aku belikan sarapan untuknya. Abah sudah tiada untuk ku beri kain pelikat dihari raya. Abah sudah tiada untuk aku mendengar suaranya. Abah sudah tiada untuk dia menanyakan bila pernikahan aku agaknya. Abah sudah tiada untuk ku melihat keterujaan dia setiap kali menaiki keretaku. Abah sudah tiada untuk aku belikan keinginannya. Abah sudah tiada untuk aku buatkan kuih raya untuknya. Abah sudah tiada. Tiada. Tiada.

Abah, kali terakhir aku melihat abah dalam kain putih, luluh jantung aku. Ketika aku tiba di rumah, abah dalam perjalanan dari hospital. Anak, menantu dan cucu lelaki abah yang mandikan abah di hospital. Anak-anak perempuan abah menunggu abah dirumah. Serasa macam tak percaya yang rumah kita dipenuhi orang ramai. Sangat ramai abah. Walaupun anak lelaki abah seorang lagi tak dapat mandikan abah, dia sempat mandikan abah masa abah masih ada. Dua hari sebelum abah tiada. Untungnya abang. 

Abah, yang imamkan sembahyang jenazah untuk abah adalah anak lelaki abah. Anak lelaki yang abah tunggu-tunggu kelahirannya. Anak lelaki abah yang lahir selepas aku. Tetapi dia tidak dapat untuk mengetuai doa selepas solat itu. Cucu lelaki abah yang doakan. Abah, terima kasih atas pengorbanan untuk anak-anak abah. Moga-moga abah tersenyum melihat ini semua.

Tidak lama abah pergi, emak bermimpi. Abah bawa emak naik motor besar menuju ke satu rumah yang besar. Didalamnya dipenuhi dengan tetamu yang memakai baju putih. Dengan bangganya abah memperkenalkan kepada semua bahawa emak adalah isterinya. Dan abah mengatakan yang ini hanyalah rumah sewa dia. Emak kata abah seperti dizaman mudanya. Kacak dan putih bersih mukanya.

Abah, aku doakan Allah akan ampunkan segala dosa-dosa mu. Dan aku berharap agar abah sudahpun memaafkan aku dan anak-anak abah yang lain. Aku juga berdoa agar Allah mengangkat siksa kubur abah dan menjadikan kuburan abah sebagai taman-taman syurga dan bukannya lubang-lubang neraka.