Tuesday, September 29, 2015

Berkorban dan terkorban

Dekat 2 minggu bos berada ditanah suci. Dekat 2 minggu juga aku dan kawan-kawan sekerja berdikari untuk menyelesaikan semua tugasan yang sentiasa ada. Cerita raya haji yang rare bagi aku tahun ini. Banyak benda yang terjadi.

Selasa malam rabu tu, dalam pukul 12 malam, makcik aku telefon dari tg karang. Anak dia eksiden. On the way dari melaka sebab belajar kat sana dari pukul 4 ptg, tetapi sesat punya pasal tu yang pukul 12 pun masih kat shah alam. Naik motor langgar tiang. Dia kata kat shah alam tapi dia sendiri tak tahu celah mana. Dia tahan orang nak minta tolong sebab motor dia tak leh gerak tapi malangnya tiada seorang pun yang berhenti.. Mungkin orang ramai curiga dengan banyak kes yang berlaku bila dirompak oleh orang yang ditolong. Aku suruh dia share location, rupanya di sekyen 7. Masa aku sampai sana rim motor dia sudah berubah bentuk menjadi bentuk luv. Aku pun balik bawa dia ke rumah makcik aku yang jarak hanya 15 minit dari rumah emak. Esok pagi kena pergi kerja sebab staff ramai yang cuti jadi aku kena cover office.

Malam raya, jalan jem. Sampai aku terlelap lalu melanggar belakang kereta kancil dan menghasilkan tujahan ke arah citra yang berada di depan kancil. Terus segar bugar aku jadinya. BMM kemek depan, kancil tu depan dan belakang. Tapi citra tu tak ada apa-apa. Mamat kancil ni nak balik manjung dengan adik dia. First time BMM eksiden dengan kereta lain. Melayang juga la beberapa rat repair BMM dengan kancil tu. Aku settle semua sendiri malas nak nyusahkan dan bagi risau adik beradik lain. Tapi yang aku tak puas hati, lusanya yang call aku bagitau berapa yang aku bayar untuk kancil tu bukan la mamat tu. Tapi bapak dia. Aku bukan tak puas hati sebab aku kena bayar kat kancil tapi aku tak puas hati sebab mamat kancil tu tak cukup jantan sehingga bapak dia yang call aku. Bukan budak lagi mamat tu, dah kerja kot. Aku rasa umur dalam 23-25 tahun. Kalau dia tu perempuan aku ok kot kalau dia wakilkan bapak dia call aku. Kemon! Aku sendiri tak melibatkan pihak ketiga, tapi kau pula libatkan orang lain. Jadinya memang bapak dia je la yang settle dengan aku. Untunglah kau ada lagi bapak mamat kancil....

Hari khamis, emak buatkan korban untuk aku dan adik aku. Terharu dengan emak. Aku bagitau emak tahun ni aku macam tak ada budget nak buat korban, tapi tak sangka emak buatkan. Emak kata, ni pun duit kau juga yang kau bagi tiap-tiap bulan emak. Rasa disayangi sangat. Oh! Aku tak nak pergi surau untuk tengok korban sebenarnya sebab aku segan dan aku tak sanggup nak tengok. Tapi emak suruh juga sebab disunatkan tengok binatang yang dikorban. Aku pergi sekejap je tengok lembu aku dikorbankan. Boleh tahan garang lembu tu. Aku tak tengok lama, nanti aku juga yang rugi sebab tak boleh makan daging kurban tu.

Jumaat tu aku kerja tahu. Sunyi semacam je office. Kerja berdua je. Yang lain cuti. Tak pe lah, diorang kampung jauh.

Semalam anak buah aku yang ke 25 lahir. Perempuan. Alhamdulillah. Anak buah perempuan yang ke 7. Tasyabar tunggu kakak aku balik pantang kat rumah emak dari JB.

Pagi tadi sebelum pergi kerja aku buat cucur cendawan. Kalaulah dia tahu yang aku sangat mengingati dia sejak akhir-akhir ini. Huhu

Friday, September 11, 2015

Merindukan

Tersiat hati ini bila mengenangkan engkau yang jauh dimata. Dengan pesawat apa pun aku tak dapat lagi menggapai tanganmu. Menggenggam erat dan mengucup tanganmu. Dengan kejuruteraan apa pun aku tak dapat lagi memandang wajahmu secara langsung. Sakitnya rasa itu. Engkau yang takkan pernah kembali untuk aku sentuh jemari mu. 

Namun ketahuilah walau aku sendiri keliru adakah kau dapat mengetahuinya atau tidak, kau akan sentiasa dalam bayangku. Kau ada dalam tubuhku. Memandang diriku di cerminan aku lihat bayangan mu. Kau yang sentiasa ada di satu tempat istimewa di satu bahagian dari jiwa dan kenanganku.

Ya Allah, angkatkan siksa kubur abah. Ampunkan dosa abah. Berikan aku kesempatan yang tidak terjangkau untuk aku menatap lagi wajah suci emak dan kewujudanku yang sentiasa menggembirakan emak.

Wednesday, September 2, 2015

Cakap tak serupa bikin

Selalu sangat antara kita ini bercakap tak serupa bikin. Dan cabaran utama dalam diri kita dalam mendekatkan diri dengan Allah adalah sejauh mana untuk kita tidak bercakap tidak serupa bikin.

Sebagai contoh:

Baru siang tu kau cerita dengan orang kelebihan tahajud. Kau bagitahu dia yang naif tu yang tahajud ni nanti akan menjadi tunggangan kau ketika melintas titian sirot dan kau cuba menyuruh dia buat tahajud sebab nanti akan berlaku perkara luar biasa dalam kehidupan dia. Luar biasa tu terlalu subjektif. Jangan disempitkan. Mungkin dia akan rasa segala urusan dia dipermudahkan tanpa kesulitan. Apa yang dia hajati dicapai. Dan kau menambah lagi, lepas tahajud kalau sempat buatlah solat taubat dan solat hajat. Buat 2 rakaat je mula-mula dah cukup. Tak ada doa yang specific. Kau suruh la dia doa apa-apa je yang dia tahu. Kemudian, dia tanya kau macam mana niat dan macam mana nak kerjakan solat tahajud tersebut. Lalu kau pun terangkan dan sempat bergurau: Tahajud tau. jangan terkejut je lebih pastu sambung tidur

Dan, malam tu juga Allah kejutkan kau untuk tahajud dan kau terbangun di tengah malam. Kau tengok jam di telefon bimbit kau. Lalu kau tidur balik dan melupakan apa yang telah kau ajar dan nasihat dia siang tadi. Huh!! Cakap tak serupa bikin.

Dan sebenarnya banyak lagi yang tak serupa bikinnya. Nak jadi baik memang senang, tapi nak kekalkan dan tambahkan kebaikan dalam diri kita sangat susah tau. Mohonlah agar Allah beri istiqamah dalam diri kita

"Wahai orang-orang yang beriman, mengapa engkau bercakap perkara yang kau tak lakukan??"

Tuesday, September 1, 2015

Akan ku

Akan aku sentiasa merindui mu
Dalam jauh atau dekatnya jasad kita

Akan aku telan kata-kata mu
Dalam sinis atau ketidaksengajaan mu dalam bicara

Akan ku tatap wajah mu
Dalam nyata atau bayangan sahaja

Akan ku cuba mencari sisi baik mu
Dalam teruja atau bencinya aku pada tertentunya masa

Akan ku cuba gelak tawa dengan mu
Dalam menarik atau tidak jadinya kamu dalam lawak jenaka

Akan ku cuba pintal kenangan dengan mu
Dalam setiap apa terjadi antara kita yang tercipta

Akan ku cuba tepis perasaan ku pada mu
Dalam ketidaklayakanku untuk menjadikan kau teman ke syurga

#Semoga baik-baik sahaja wahai kamu.